CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 273|Reply: 0

[Perlis] Pesta mentarang di Kuala Perlis

[Copy link]
Post time 26-12-2022 12:57 PM | Show all posts |Read mode

PENDUDUK yang rata-ratanya nelayan dari Perlis dan Kedah berendam sekitar pantai Kuala Sungai Baru, untuk mengutip mentarang. FOTO Luqman Hakim Zubir

Kangar: Seramai 180 hingga 200 penduduk yang kebanyakannya nelayan dari Perlis dan Kedah berpusu-pusu 'berendam' pagi dan petang sekitar Pantai Kuala Sungai Baru, Simpang Empat, Kuala Perlis, di sini, bagi mengutip mentarang.

Tanpa mengira usia dan jantina, mereka 'turun' ke kawasan laut berhampiran pantai itu dengan berbekalkan bekas polistrin atau tong simpanan air yang diubahsuai dan menyelam beramai-ramai sambil menggagau mentarang di dasar.

Pantai di sekitar perairan Perlis bukanlah pantai rekreasi yang boleh dilakukan aktiviti mandi-manda disebabkan keadaan pesisiran yang berselut dan berlumpur namun itu bukanlah penghalang kepada nelayan dan keluarga mereka untuk bersama-sama mengutip siput dari spesis berkenaan.


Mentarang atau nama saintifiknya Pholas Orientalist turut dijadikan pelbagai hidangan popular antaranya bakar, goreng tepung, sambal, masak lemak dan tumis cili api.

Media yang berpeluang menaiki bot bersama pemimpin setempat Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob pada Sabtu lalu meninjau keghairahan mengutip siput mentarang dalam kalangan warga nelayan yang tidak dapat turun ke laut berikutan musim tengkujuh dan menggunakan aktiviti berkenaan bagi menjana pendapatan pada musim ini.

Tinjauan mendapati aktiviti yang dipanggil 'selam mentarang' itu dilakukan antara 500 meter hingga 1.5 kilometer dari pesisiran Pantai Kuala Sungai Baru dan aktiviti itu kebanyakannya dilakukan oleh golongan muda.

Nelayan, Mohd Yusof Ahmad, 40, dari Kuala Sungai Baru, Simpang Empat berkata, kemeriahan mengutip mentarang pada musim ini mula dirasai sekitar empat hingga lima hari lalu apabila nelayan memaklumkan ia sudah mulai boleh didapati di sekitar perairan Kuala Perlis.

"Oleh itu, kami dari komuniti nelayan mengambil peluang beramai-ramai ke kawasan ini terutama dalam musim tengkujuh disebabkan tidak boleh ke laut untuk menangkap ikan dan proses ini selalunya dilakukan pada musim angin timur sekitar Disember hingga Januari saja.

"Proses mengutip siput mentarang ini dilakukan dalam keadaan air sedang surut dalam dua sesi iaitu jam 5 pagi hingga 9 pagi dan 5 petang sehingga Maghrib. Jadi memang ramailah nelayan bukan saja di Kuala Perlis malah ada yang datang dari Yan, Kedah.

"Nak kutip siput ini ada caranya kerana jika dilihat air laut keruh jadi keberadaan mentarang dapat dirasa apabila kaki kita mencecah dasar selut dan jika air berada sekitar paras dada atau tengkuk, itu maksudnya air sedang surut dan kita kemudian menyelam untuk mengagau mentarang," katanya.

Mohd Yusof berkata, walaupun berisiko untuk tersekat pada selut lumpur dasar laut, aktiviti itu sudah menjadi mata pencarian nelayan yang tidak dapat ke laut sepanjang tengkujuh.

"Kami menyelam tidak menggunakan peralatan pernafasan apa-apa pun, cukup sekadar menahan nafas untuk beberapa saat sebelum mengambil siput mentarang ini yang sudah pun kami rasakan berada dalam dasar selut laut ini.

"Syukur Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada hasil sikit buat kami kerana siput mentarang ini sama ada dijual sendiri atau dihantar kepada peraih di Kuala Perlis yang mana harga peraih adalah sekitar RM8 hingga RM10 sekilogram.

"Harga ini kemudian dijual kepada orang ramai sekitar RM11 hingga RM15 bagi sekilogram," katanya.

https://www.hmetro.com.my/mutakh ... ang-di-kuala-perlis

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 06:47 PM GMT+8 , Processed in 0.430095 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list