Bayan Lepas: Kertas kerja bagi membina sambungan tembok penahan (retaining wall) akan dibuat sebagai langkah penyelesaian jangka panjang terhadap hakisan pantai yang berlaku di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata, berikutan itu pihaknya mengharap peruntukan daripada kerajaan persekutuan memandangkan kos pembinaan tembok penahan yang menelan kos sehingga RM500,000.
Katanya, sebelum ini Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah membina dinding penahan bagi mengatasi hakisan di kawasan itu pada 2016.
Namun katanya, ia hanya membabitkan sebahagian lokasi berikutan gerai di kawasan itu berkedudukan terlalu rapat antara satu sama lain.
"Ia menyebabkan jentera sukar masuk ke kawasan berkenaan, sehubungan itu perbincangan semula dengan peniaga akan dilakukan.
"Perbincangan bertujuan membolehkan jentera masuk dan pembinaan tembok penahan termasuk mengalihkan bahagian struktur runtuhan," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Terdahulu, Harian Metro melaporkan mengenai aduan peniaga dan penduduk yang resah dengan kejadian hakisan pantai berlaku baru-baru ini hingga menyebabkan struktur gerai serta rumah mereka rosak teruk.
Penduduk mendakwa kejadian itu dipercayai berpunca daripada projek tambak laut yang dijalankan di beberapa lokasi perairan negeri ini.
Azrul Mahathir bagaimanapun menafikan projek tambak laut di negeri ini menjadi punca hakisan pantai di Sungai Batu dan Teluk Kumbar.
"Sebaliknya, JPS sudah mengesahkan bahawa gempa bumi yang berlaku di Indonesia, dipercayai antara punca berlakunya hakisan selain fenomena ombak besar," katanya.
Dalam perkembangan lanjut, Azrul berkata, pihaknya mendapati rumah yang terkesan dengan kejadian itu terletak atas tanah rizab pantai.
Malah keadaannya yang terkini menyebabkan ia sudah tidak sesuai bagi diperbaiki.
"Rumah yang terjejas itu juga sudah tidak boleh dibaiki kerana struktur dapur terletak di pasir pantai.
"Saya sudah maklumkan kepada pemilik rumah dan sekiranya dia mahu berpindah, kita dan Zakat Pulau Pinang (ZPP) akan bantu daripada segi bayaran deposit.
"Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) juga sedia bantu bagi pembelian rumah dengan syarat tertentu," katanya.