CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 373|Reply: 0

[Terengganu] Pemuda nekad pertahan perusahaan belacan diwarisi arwah ibu bapa

[Copy link]
Post time 23-11-2022 05:29 PM | Show all posts |Read mode

Muhammad Aimy melihat pekerjanya membungkus belacan di Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini. Foto FAIZUL AZLAN RAZAK

Kuala Nerus: Walaupun dua tahun perniagaannya terjejas teruk akibat penularan wabak Covid-19, namun ia tidak mematahkan semangat Muhammad Aimy Shahril Mat Amin mempertahankan perusahaan belacan daripada ditutup.

Malah, pemuda berusia 21 tahun itu tetap gigih mempertahankan perniagaan yang diwarisi daripada arwah ibu bapanya.

Kini, perusahaan belacan yang terbesar di negeri ini yang terletak di Kampung Hujung Tanjung, Seberang Takir, di sini mampu menghasilkan satu tan atau 2,500 keping belacan sehari dengan meraih RM20,000 sebulan.


"Saya mengakui perniagaannya terjejas dan jualannya merosot teruk sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila belacan tidak dapat dihasilkan.

"Jika sebelum PKP, saya mampu meraih pendapatan RM50,000 sebulan, namun ketika penularan wabak penghasilan belacan tidak dapat dilakukan seperti biasa selain masalah kekurangan bahan mentah.

"Hari ini, saya boleh menarik nafas lega apabila kembali menjalankan perniagaan seperti biasa dengan menghasilkan belacan untuk dipasarkan kepada pembeli dalam dan luar Terengganu," katanya yang ditemui di sini, hari ini.

Muhammad Aimy Shahril berkata, penghasilan belacan yang diberi nama 'Belacan Sri Tanjung Mas' mengambil masa tujuh hari untuk disiapkan bergantung kepada cuaca.

Menurutnya, dia dibantu 14 pekerja yang juga kesemuanya penduduk tempatan Kampung Seberang Takir yang memainkan watak penting dalam menghasilkan belacan berkualiti.

"Belacan dihasilkan dengan pelbagai saiz dan dijual dengan harga antara RM1 hingga RM5 sekeping dengan berat antara 100 hingga 400 gram.

"Belacan ini akan dihantar kepada peniaga di Pasar Besar Kedai Payang dan Pasar Borong Gong Pauh, Kuala Terengganu selain kedai seluruh Terengganu.

"Kita juga mendapat permintaan tinggi peniaga dari luar iaitu Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang," katanya.

Muhammad Aimy Shahril berkata, selain menghasilkan belacan, perusahaannya juga mengeluarkan ikan kering, budu dan ikan bilis kepada pelanggan.

"Perniagaan ini diusahakan tanpa sebarang pinjaman walaupun pernah ditawarkan pihak bank, namun saya menolaknya kerana tidak mahu berhutang.

"Bagi saya, biarlah saya usahakan dengan modal sedia ada daripada menanggung hutang selain tidak mahu menanggung komitmen bulanan," katanya.

Muhammad Aimy Shahril yang juga anak tunggal berkata, dia bertekad mahu memperbesarkan kawasan pemprosesan belacan bertaraf kilang pada masa depan.

Katanya, sejak lima tahun lalu, dia melakukan naik taraf daripada bangsal menjadi kilang kecil untuk menempatkan mesin, peti ais dan bilik tambahan simpanan stok belacan.

"Saya menghabiskan lebih RM100,000 membesarkan tempat proses belacan dan dibuat secara berperingkat hasil duit jualan belacan, ikan bilis, ikan kering dan budu.

"Malah, saya harap impian saya untuk membina kilang yang lebih selesa untuk memproses belacan mampu menjadi kenyataan dalam tempoh dua tahun akan datang," katanya.
https://www.hmetro.com.my/mutakh ... risi-arwah-ibu-bapa
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 04:17 PM GMT+8 , Processed in 0.117801 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list