CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 778|Reply: 0

Berlaku adil dalam bisnes

[Copy link]
Post time 31-10-2022 08:56 AM | Show all posts |Read mode
Berlaku adil dalam bisnes


ALLAH SWT mencela golongan yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli. FOTO AFP



Islam amat menggalakkan masyarakat menceburi bidang perniagaan kerana merupakan salah satu pekerjaan yang terpuji. Rasulullah SAW sendiri terkenal sebagai seorang peniaga sama ada sebelum mahupun setelah baginda dilantik menjadi rasul. Berdasarkan catatan yang direkodkan di dalam kitab-kitab sirah, Nabi Muhammad SAW mengikuti rombongan bapa saudara baginda iaitu Abu Talib ke Syam bagi tujuan berniaga. Selain itu, Rasulullah SAW juga pernah membantu isteri tercinta iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid dalam perniagaan. Terdapat ramai dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang melibatkan diri di dalam kegiatan perniagaan seperti Abu Bakar al-Siddiq, Uthman bin Affan, Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin al-Awwam, Sa'ad bin Abi Waqqas, al-Barra' bin Azib dan pelbagai lagi.

Barang dagangan Rasulullah SAW laris dijual dan mendatangkan banyak keuntungan lantaran sifat ramah dan mesra baginda dalam berniaga. Baginda gemar melemparkan senyuman kepada orang lain dan banyak bersedekah serta menghulurkan bantuan kepada pelanggannya yang benar-benar memerlukan. Keistimewaan yang dimiliki oleh baginda membuatkan setiap perniagaan atau jualannya sentiasa menghasilkan keuntungan besar. Firman Allah dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 245 yang bermaksud: "Siapakah orangnya yang (mahu) memberikan pinjaman kepada Allah sebagai pinjaman yang baik (yang ikhlas) supaya Allah melipatgandakan balasannya dengan berganda-ganda banyaknya? Dan (ingatlah), Allah jualah Yang menyempit dan Yang meluaskan (pemberian rezeki) dan kepadaNyalah kamu semua dikembalikan."

Islam memerintahkan agar umat manusia berlaku adil dalam perniagaan serta memberikan layanan yang baik kepada pelanggan. Rasulullah SAW sentiasa mengamalkan sikap baik hati dan lemah lembut ketika menjalankan perniagaan dan tidak pernah menyakiti hati peniaga yang lain. Amalan tersebut bersesuaian dengan konsep persaudaraan dalam Islam sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Hujurat ayat 10 yang bermaksud: "Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat."

Sebaliknya Islam menegah dari melakukan perbuatan terkeji dalam perniagaan misalnya melaksanakan jual beli dengan bersumpah dan menyatakan sesuatu yang tidak benar. Dalam hal tersebut Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sumpah itu melariskan barang dagangan akan tetapi menghapuskan keberkatannya" - (Riwayat Al-Bukhari). Selain itu, Islam juga melarang umatnya dari melakukan perbuatan monopoli iaitu penguasaan sepenuhnya terhadap sesuatu barangan ataupun tindakan menyorok barangan (ihtikar) kerana perbuatan tersebut boleh menaikkan harga sesuatu barangan akibat kesukaran mendapatkannya di pasaran. Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan" - (Riwayat Abu Daud, at-Tirmizi dan Muslim). Sebarang unsur tipu daya atau helah juga mesti dielakkan oleh peniaga kerana amalan tersebut akan menghilangkan keberkatan di dalam perniagaan. Rasulullah SAW memberikan amaran dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Barangsiapa yang menipu kami, dia bukanlah daripada golongan kami." (Riwayat Muslim)

Para pelanggan atau pengguna mesti dilindungi daripada ditipu oleh peniaga melalui kadar sukatan dan timbangan. Perkara tersebut ditegaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran Surah al-Isra' ayat 35 yang bermaksud: "Dan sempurnakanlah sukatan apabila kamu menyukat, dan timbanglah dengan timbangan yang adil. Yang demikian itu baik (kesannya bagi kamu di dunia) dan sebaik baik kesudahan (yang mendatangkan pahala di akhirat kelak)." Allah SWT mencela golongan yang mengurangkan sukatan dan timbangan di dalam jual beli sebagaimana firman-Nya dalam al-Quran Surah al-Mutaffifin ayat 1-3 yang bermaksud: "Kecelakaan besar bagi orang-orang yang curang (dalam timbangan dan sukatan). Iaitu mereka yang apabila menerima sukatan (gantang cupak) dari orang lain mereka mengambilnya dengan cukup. Dan (sebaliknya) apabila mereka menyukat atau menimbang untuk orang lain, mereka kurangi."

Ajaran Islam menganjurkan akhlak yang terpuji supaya dapat dijadikan amalan oleh para peniaga pada setiap masa. Golongan tersebut seharusnya saling membantu antara satu sama lain, menjauhi pergaduhan dan persengketaan yang merugikan serta dikuasai sifat tamak sehingga tergamak melakukan perbuatan khianat dan sihir untuk menjatuhkan perniagaan orang lain. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Mukmin dengan Mukmin yang lain umpama sebuah bangunan, sebahagian mengukuhkan sebahagian lain" - (Riwayat Muslim). Jauhilah perasaan hasad dengki yang merosakkan sebaliknya menjadi insan yang turut bergembira dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain. Di dalam sebuah hadis daripada Abu Hurairah RA menceritakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Takutlah kamu pada sifat dengki (hasad dan iri hati), sesungguhnya dengki itu dapat memakan kebaikan-kebaikanmu sebagaimana api memakan kayu bakar." (Riwayat Abu Daud)

Ketika negara berada dalam fasa peralihan ke endemik, peniaga kembali melaksanakan pelbagai aktiviti perniagaan untuk mencari rezeki dan merancakkan kembali kegiatan ekonomi. Perniagaan yang dahulunya terpaksa ditutup dan dihentikan akibat pandemik Covid-19 kini bernafas kembali. Dari kedai di pasar raya besar sehingga gerai nasi lemak di tepi jalan. Justeru, setiap peniaga mesti menanamkan niat dalam diri untuk berniaga mengikut contoh teladan ditunjukkan Rasulullah SAW agar sentiasa dipermudahkan urusan perniagaan oleh Allah SWT. Turutilah garis panduan yang ditetapkan ajaran Islam agar setiap perkara dilakukan sentiasa diberkati dan diredai. Perkara tersebut bertepatan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Sa'id RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Peniaga yang jujur dan amanah akan bersama para nabi, orang yang jujur dan orang yang syahid" - (Riwayat al-Tirmizi). Renungilah juga peringatan yang diberikan oleh Rasulullah SAW kepada peniaga dalam sebuah hadis bermaksud: "Sesungguhnya para peniaga ini akan dibangkitkan pada hari Kiamat dalam keadaan yang berdosa melainkan orang yang bertakwa kepada Allah, berbuat kebaikan dan jujur." (Riwayat al-Tirmizi)

Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Sumber:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... u-adil-dalam-bisnes

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic
Dividen KWSP 2023 5.4% dan 5.5%
AbahmungDividen KWSP 2023 5.4% dan 5.5%
Views : 1718 Replies : 0
Emma Maembong mohon maaf, tersilap langkah 'voice note' Ruhainies isu Bella Astillah
YgBenarEmma Maembong mohon maaf, tersilap langk
Views : 7791 Replies : 115
Tragedi Helikopter Terhempas Diketawakan Warga Singapura
beggTragedi Helikopter Terhempas Diketawakan
Views : 17796 Replies : 113
Hanya cakap "apa khabar" sudah dapat kerja...  pempengaruh Imran Bard kata kita terlalu mengagung orang luar seperti Korea berbanding layanan mereka terhadap orang kita.Anda setuju?
YgBenarHanya cakap "apa khabar" sudah dapat ker
Views : 8980 Replies : 62
Mari Tepek Gif Picture V.7
tariMari Tepek Gif Picture V.7
Views : 54968 Replies : 2755
Belum masanya Malaysia laksana aturan waktu kerja fleksibel
ultra78Belum masanya Malaysia laksana aturan wa
Views : 6359 Replies : 25
Restoran Kantan Datin Isma
AngelFreakyAFRestoran Kantan Datin Isma
Views : 18022 Replies : 90
Elia Jejari Runcing
friedfishsoupElia Jejari Runcing
Views : 86188 Replies : 307
Lelaki 45 tahun ada lebih RM1 juta KWSP cetus inspirasi
ultra78Lelaki 45 tahun ada lebih RM1 juta KWSP
Views : 21722 Replies : 166
FATTAH FAZURA FATIMA bergandingan dalam drama HERO SEORANG CINDERELLA 2.0
FORUMCARIIIFATTAH FAZURA FATIMA bergandingan dalam
Views : 281866 Replies : 9530

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 03:04 PM GMT+8 , Processed in 0.062367 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list