CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 875|Reply: 0

Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin

[Copy link]
Post time 20-10-2022 09:19 PM | Show all posts |Read mode
Syahid dalam kebakaran, ketahui dua sudut istilah syahid kepada Muslimin


MATI dalam kebakaran merupakan salah satu diantara golongan yang mati syahid.

SETIAP yang bernyawa pasti akan merasai mati dan itulah janji ALLAH SWT kepada setiap makhluk-NYA dan mati syahid pula merupakan cita-cita tertinggi bagi umat Islam.

Muslim yang berjuang membela harta miliknya, jiwanya, keluarganya, agamanya, dan meninggal dalam perjuangannya itu, maka ia meninggal fi sabilillah atau mati syahid.

Sudah tentu ia menjadi dambaan setiap umat Islam mengakhiri hidup ini dalam keadaan husnul khatimah seperti yang tular baru-baru ini apabila seorang isteri syahid dalam kebakaran kerana kemalangan.

Penceramah bebas, Ustazah Asma Harun berkongsi di laman Facebooknya mengenai kisah yang meruntun jiwa ini apabila ramai yang mengalirkan air mata saat mendengar rintihan kuat suami arwah Nurul Nazihah ketika api sedang marak sewaktu kejadian kemalangan yang berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) sebelum simpang Sedenak, Kulai Johor.


RAMAI yang mengalirkan air mata saat mendengar rintihan kuat suami arwah Nurul Nazihah ketika api sedang marak sewaktu kejadian kemalangan.

Lebih menyayat hati pasangan ini baru sahaja pulang daripada mengerjakan ibadah umrah pada hari Rabu yang lalu dan ketika kejadian, arwah sedang menemani suaminya pulang dari urusan kerja. Beliau meninggal dalam keadaan sedang berkhidmat untuk suami.

Sukar digambarkan apabila situasi isterinya yang tersepit di dalam kereta selepas dilanggar oleh sebuah lori yang melibatkan tiga buah kenderaan lain.

Suaminya bergegas cuba untuk menyelamatkan namun arwah berpesan, “abang keluar dulu” supaya suaminya mencari bantuan. Namun takdir ajal isterinya sudah tiba, kereta tersebut terbakar rentung di depan matanya.

Daripada Jabir RA bahawa Nabi SAW bersabda “Orang-orang yang mati syahid yang selain terbunuh di jalan ALLAH tujuh orang, iaitu korban wabak adalah syahid; mati tenggelam (ketika melakukan safar dalam rangka ketaatan) adalah syahid; yang punya luka pada lambung lalu mati, matinya adalah syahid; mati kerana penyakit perut adalah syahid; korban kebakaran adalah syahid; yang mati tertimpa runtuhan adalah syahid; dan seorang wanita yang meninggal ketika melahirkan anak adalah syahid.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan al-Nasaie)


Mengkhususkan istilah syahid kepada seseorang

Merujuk penjelasan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hukum menentukan kesyahidan kepada individu tertentu memiliki dua sudut:

Penyaksian umum: Yakni kita menentukan kesyahidan berdasarkan keadaan atau sifat yang berlaku berdasarkan sifat atau keadaan yang diiktiraf dalam al-Quran atau Hadis Rasulullah SAW. Contohnya seperti hadis Jabir RA di atas. Maka hukumnya adalah diharuskan bahkan wajib untuk membenarkannya, kerana kita menyaksikannya berdasarkan sifat yang dikhabarkan oleh Rasulullah.

Penyaksian khusus: Yakni kita mengucapkan seseorang itu syahid pada orang tertentu seperti kita berkata: “Orang itu syahid.” Maka hal ini tidak dibenarkan melainkan individu tersebut disaksikan syahid oleh Rasulullah SAW atau kesepakatan umat Islam.


HADIS golongan mati syahid. FOTOETIKNEWS

Oleh sebab itu, Imam al-Bukhari membuat bab khas dalam kitab Sahih al-Bukhari “Larangan Mengatakan Seseorang Itu Syahid.” Menurut Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam Fath al-Bari “Larangan itu bermaksud atas jalan yang pasti. Ini kerana kepastian hanyalah boleh diterima berdasarkan kenyataan wahyu.

Justeru, dia (Imam al-Bukhari) seolah-olah menyandarkan larangan ini kepada hadis Umar (al-Khattab) yang berkhutbah “Kalian mengatakan dalam peperangan-peperangan kalian, “si Fulan syahid” dan “si fulan mati syahid” padahal mungkin orang itu (mati kerana) membebani tunggangannya dengan terlalu berat (lalu mati jatuh kenderaan). Oleh itu, jangan kalian berkata sedemikian, sebaliknya katakanlah seperti apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW “Sesiapa yang mati atau terbunuh di jalan ALLAH, maka dia (mati) syahid.”

Kata Imam Ibn Hajar “Hadis ini ialah hadis hasan dan ditakhrijkan oleh Imam Ahmad dan Said bin Mansur dan selain mereka.”

Oleh itu, kita mendoakan dan mengharapkan ganjaran syahid kepada orang yang mati dalam keadaan syahid seperti mana yang dikhabarkan oleh Rasulullah SAW tanpa menetapkannya secara qat’ie (sumber jelas, terang) dan kita bersangka baik dengannya.


https://sinarislamplus.sinarhari ... id-kepada-muslimin/

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 02:53 PM GMT+8 , Processed in 0.242132 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list