CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1049|Reply: 0

Kini hampiri zaman terakhir

  [Copy link]
Post time 24-9-2022 06:31 PM | Show all posts |Read mode
Kini hampiri zaman terakhir


GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP


Manusia akhir zaman akan diperlihatkan dengan lima peringkat zaman yang dibayangkan oleh Baginda Nabi SAW telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku.

Berkata Huzaifah RA, Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Telah berlaku zaman kenabian (Minhaj Nubuwah) ke atas kamu. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Dia kehendaki. Kemudian Allah mengangkat zaman itu seperti yang Dia kehendaki. Kemudian berlaku zaman Khalifah (Khalifah Al-Rasyidin ala Minhaj al-Nubuwah) yang berjalan menurut cara zaman kenabian. Maka berlakulah zaman itu sebagaimana Allah kehendaki ia berlaku. Kemudian diangkatnya apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlaku zaman pemerintahan menggigit (Mulkan Adhan). Maka berlakulah zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian Dia mengangkatnya. Kemudian berlaku zaman pemerintahan kuku besi (Mulkan Jabariyan). Maka berlaku zaman itu sebagaimana yang Allah kehendaki. Kemudian dia mengangkat apabila Dia berkehendak mengangkatnya. Kemudian berlaku Zaman Khalifah yang berjalan seperti zaman kenabian Khalifah." Selanjutnya kata Huzaifah RA," Kemudian Rasulullah SAW diam." (Hadis Riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Berdasarkan hadis tersebut, terdapat lima zaman yang dinyatakan oleh Baginda Nabi SAW dalam tempoh 1400 tahun ini, telah berlalu beberapa zaman dengan banyak tanda-tanda yang ditinggalkan buat pedoman generasi akan datang.

Jika disoroti, zaman pertama iaitu zaman Nabi SAW yang dikenali dengan (Minhaj Nubuwah) telah berlalu. Begitu juga dengan dua zaman selepas itu iaitu zaman Khalifah Al-Rasyidin melalui Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib, kemudian Zaman Umaiyah, Abassyiah dan Uthmaniah. Ketiga-tiga tempoh zaman ini memperlihatkan bagaimana Islam berkembang dengan pesat melalui ilmu dan method dakwah daripada Baginda Nabi SAW.

Zaman pertama: Zaman Rasulullah SAW

Zaman ini berjalan selama 25 tahun. Zaman Rasulullah SAW terkenal dengan 'Zaman Ummah Pertama'. Islam berkembang hingga tiga suku dunia dan dianuti oleh semua bangsa di muka bumi ini. Dengan kemunculan Islam, dua gergasi besar iaitu Rom dan Parsi menjadi lemah dan tunduk dibawah kekuasaan Islam. Setelah Nabi wafat, maka berakhirlah fasa pertama ini.

Terutusnya Baginda Nabi SAW dan wafatnya Baginda merupakan tanda kiamat yang telah berlaku. Tanda ini sebagai gambaran awal bahawa umat Baginda akan terus menerus diperlihatkan dengan tanda-tanda kiamat.

Sabda Baginda Nabi SAW maksudnya:  "Jarak antara aku diutuskan dengan tibanya Hari Kiamat adalah seperti ini. (Anas berkata: "Rasulullah SAW menggabungkan antara jari telunjuk dengan jari tengah."  (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Fasa terutusnya Baginda Nabi SAW adalah bagi membentuk kembali masyarakat yang telah tepesong jauh dari ajaran Nabi sebelumnya. Masyarakat yang sinonim dengan  jahiliah  ini telah mendiami tanah Arab sebelum kedatangan Islam lagi.

Zaman kedua: Zaman Khalifah Al-Rasyidin

Zaman ini adalah zaman pemerintahan empat sahabat iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq, Saidina Umar Al-Khattab, Saidina Uthman bin Affan dan Saidina Ali bin Abi Talib. Zaman ini berlansung selama 30 tahun dengan Islam tersebar luas terutama apabila kuasa besar dunia ketika itu iaitu Rom dan Parsi lemah dan terus tumbang di tangan sahabat.

Zaman ketiga: Zaman Umaiyah, Abasiyah dan Uthmaniah

Zaman ini juga dikenali dengan zaman fitnah apabila pemerintahan empat khalifah berakhir dan disambung dengan sistem pemerintahan beraja. Pada ketika itu, kerajaan yang tersebar adalah Bani Umaiyah yang bermula pada 661 masihi sehingga 750 masihi. Kemudian kerajaan Bani Abasiyah pula mengambil tampuk pemerintahan selama 508 tahun bermula 750 masihi sehingga 1258 masihi. Kemudian kerajaan Uthmaniyah pula mengambil alih pemerintahan bermula tahun 1289 masihi hingga 1924 masihi selama 635 tahun.

Secara umumnya kerajaan pada zaman ini memerintah mengikut sistem turun temurun atau sistem monarki. Walaupun pemerintahan kerajaan berdasarkan Islam, namun terdapat banyak campur tangan luar sehingga menzahirkan banyak kezaliman. Zaman kezaliman itu berselang seli dengan zaman keadilan di bawah pentadbiran Khalifah Harun al-Rasyid dan beberapa pemerintahan di bawah beliau.

Disebabkan itu, Islam yang mula mendapat tempat di pelosok dunia kembali menjadi fitnah dengan kezaliman yang berlaku. Orang bukan Islam menyangka Islam adalah agama yang zalim dan gila dalam mengumpulkan harta benda. Hasilnya muncul gerakan dan pemberontakan daripada rakyat sehingga memunculkan banyak ideologi yang baru seperti sosialis, komunis dan demokrasi. Kemunculan ini juga menyebabkan kerajaan Islam di Eropah barat dan timur telah bertukar menjadi negara-negara kecil akibat dijajah.

Dengan keadaan dan sikap pemerintah pada ketika itu yang diselubungi fitnah, satu persatu kerajaan Islam jatuh ke tangan penjajah. Bermula dengan kejatuhan Baghdad, Sepanyol, Mesir, Turki dan lain-lain negara.

Zaman keempat: Zaman semasa (Mulkan Jabariyan)

Zaman yang sedang berlaku pada hari ini merujuk kepada pemerintah yang dikenali dengan presiden atau perdana menteri melalui sistem domokrasi sekular. Zaman ini memperlihatkan perebutan terhadap kekuasaan melalui peperangan dan penjajahan.

Pada ketika ini, negara kuasa besar mempunyai pengaruh dominan dalam penguasaan terhadap ekonomi, pentadbiran dunia, ketenteraan, teknologi dan lain-lain. Jika dilihat, sekiranya sesebuah negara dapat menguasai ekonomi dan teknologi, mereka secara dasarnya telah menguasai keseluruhan dunia.

Namun, kemuncak kepada zaman yang keempat ini bakal diperlihatkan dengan negara-negara besar mulai lemah dan menzahirkan kepada kepada kekuatan Islam khususnya di Eropah. Tanda ini adalah titik permulaan kepada zaman kebangkitan Islam menjelangnya zaman kelima.

Zaman kelima: Penutup umat Akhir Zaman

Zaman ini akan muncul apabila tibanya khalifah yang bernama Muhammad bin Abdullah atau dikenali dengan Imam Mahdi. Kemunculan Imam Mahdi ini merupakan salah satu daripada tanda kiamat besar.

Kemunculan Imam Al-Mahdi ini adalah petunjuk kepada sekalian manusia yang mula hanyut dan terpalit dengan kezaliman yang banyak berlaku. Silsilah keturunan Imam Al-Mahdi ini adalah berdasarkan sabda Nabi SAW Daripada Abdullah bin Mas'ud RA beliau berkata bahawa Rasulullah SAW telah bersabda maksudnya: "Sekiranya tidak berbaki daripada dunia itu melainkan hanya satu hari nescaya Allah akan memanjangkan hari tersebut sehinggalah Dia mengutuskan seorang lelaki pada hari tersebut yang mana lelaki itu dari kalangan aku – atau daripada ahli baitku – Namanya berbetulan dengan namaku dan nama bapanya berbetulan dengan nama bapaku. Dia akan memenuhi bumi dengan penuh adil dan saksama sebagaimana ia (bumi) dahulunya dipenuhi oleh kegelapan dan kezaliman." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Imam al-Mahdi adalah seorang pemimpin soleh yang Allah SWT utuskan untuk memenuhkan bumi dengan keadilan sebagaimana ia telah dipenuhi dengan kezaliman. Beliau menjadi seorang mujaddid (tokoh pembaharuan) untuk agama ini.

Ibn Khaldun menjelaskan bahawa pendapat yang masyhur di sisi umat Islam keseluruhannya kelak akan munculnya seorang lelaki dari kalangan ahli bait yang akan menguatkan agama, menzahirkan keadilan dan diikuti oleh kaum Muslimin dan beliau akan menguasai ke atas kerajaan Islam. Beliau dinamakan sebagai Al-Mahdi. Sesungguhnya Isa akan datang selepasnya dan membunuh Dajjal atau Isa turun bersama-samanya (Al-Mahdi) lalu dia membantunya untuk membunuh Dajjal dan Nabi Isa menjadi makmum kepada al-Mahdi semasa solatnya.

Kesimpulannya, lima zaman ini merupakan keadaan yang manusia akhir zaman akan tempuhi dan kini zaman tersebut berada pada zaman yang keempat dengan banyak tanda-tanda sudah terzahir menghampiri kepada zaman kelima. Justeru itu, memahami peringkat zaman ini secara langsung akan memberikan kesedaran kepada manusia akhir zaman supaya tidak leka dengan kecintaan dunia dan takutkan kematian.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

SumbeR:https://www.hmetro.com.my/addin/ ... piri-zaman-terakhir

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 08:21 PM GMT+8 , Processed in 0.059027 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list