Seorang lelaki yang sedang mengadili perlawanan bola sepak antara mukim berdepan detik cemas diserang penyokong dalam kejadian di Stadium Mini Pasir Mas, di sini Ahad lalu.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut.
Tangkap pengadil diserang semasa mengendalikan perlawanan di Stadium Mini Pasir Mas, Kelantan, Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian itu melalui video berdurasi 39 saat yang dimuat naik menerusi akaun Facebook, Kongsi Segala Info semalam.
Menurutnya, berdasarkan video tersebut, beberapa orang lelaki didapati sedang mengasari pengadil perlawanan dalam pertandingan bola sepak antara mukim di daerah ini di Stadium Mini Pasir Mas.
“Insiden tersebut dapat dikawal secara aman dengan bantuan anggota kereta peronda polis yang kebetulan berada di kawasan stadium tersebut semasa kejadian berlaku. Tiada kecederaan dialami oleh kedua-dua pihak yang terlibat dalam insiden tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, setiap individu perlu sentiasa mengamalkan semangat kesukanan yang tinggi semasa menghadiri acara sukan bagi mengelakkan sebarang kecederaan atau kesalahan yang lebih serius.
Sumber: UTUSAN |