CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 242|Reply: 0

[Tempatan] Permohonan Ahmad Zahid tangguh prosiding ditolak

[Copy link]
Post time 4-7-2022 03:28 PM | Show all posts |Read mode
Permohonan Ahmad Zahid tangguh prosiding ditolak

https://www.utusan.com.my/nasion ... -prosiding-ditolak/

Oleh NORLIZAH ABAS
4 Julai 2022, 3:09 pm


AHMAD Zahid Hamidi hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan kes rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram. - FOTO/FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk menangguhkan perbicaraan kesnya sehingga rayuan untuk mendapatkan salinan percakapan saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah memutuskan demikian selepas berpuas hati bekas Timbalan Perdana Menteri itu tidak akan diprejudis ketika prosiding bela diri terhadapnya didengar di mahkamah serta tidak akan dihalang daripada dibicarakan secara adil.

Mahkamah berpendapat, Presiden UMNO itu bebas menemubual saksi-saksi pada bila-bila masa kerana kebanyakannya terdiri daripada ahli keluarga manakala pihak pendakwaan bersedia untuk membantunya.

Sehubungan itu, Hakim Collin berpuas hati, tiada keadaan istimewa yang membolehkan mahkamah membenarkan permohonan untuk menangguhkan prosiding perbicaraan yang kini di peringkat bela diri.

Mahkamah kemudian menangguhkan perbicaraan hingga esok selepas dimaklumkan bahawa beberapa peguam Ahmad Zahid tidak sihat.

Ahmad Zahid sedang membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Ahmad Zahid mengemukakan permohonan untuk mendapatkan salinan percakapan saksi-saksi berkenaan kerana keterangan mereka material dan menyokong keterangan pembelaan beliau.

Saksi-saksi itu termasuk anaknya, Datuk Nurulhidayah; adiknya, Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi dan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.

Bagaimanapun, pada 9 Mei lalu, Hakim Collin menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi daripada SPRM kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi. Beliau kemudian merayu ke Mahkamah Rayuan.

Sementara itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mengetuai pasukan pembelaan berhujah, permohonan tersebut bukan bertujuan untuk melengahkan atau melewatkan perbicaraan.

Sebaliknya, hujah peguam bela, permohonan itu bersifat bona fide (niat baik) untuk memastikan anak guamnya mendapat perbicaraan yang adil dalam penyediaan pembelaan di mahkamah.

Hujah Hisyam, kes itu merupakan kes kepentingan awam dan Ahmad Zahid perlu diberi peluang memberikan keterangan penuh serta lengkap semasa pemeriksaan utama sebelum disoal balas.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran berhujah agar permohonan itu ditolak kerana ia jelas dilihat sebagai percubaan untuk melengah-lengahkan perbicaraan daripada diselesaikan lebih awal.

Raja Rozela turut mempertikaikan mengapa permohonan penangguhan difailkan pada saat-saat akhir iaitu pada 23 Jun lalu walhal pihak pembelaan boleh melakukannya sejurus selepas Mahkamah Tinggi menolak permohonannya pada 9 Mei lalu.

Hujahnya, Seksyen 174 Kanun Tatacara Jenayah menyatakan, perbicaraan kes jenayah perlu dimulakan dalam tempoh tiga bulan selepas individu berkenaan didakwa di mahkamah.

“Pendakwaan terhadap Ahmad Zahid telah mengambil masa selama tiga tahun sejak 2019, jika mahkamah membenarkan penangguhan, bila kes ini akan selesai walhal pertuduhan melibatkan kesalahan yang serius?” ujar Raja Rozela.

Hujah beliau, kes itu melibatkan kepentingan awam kerana tertuduh merupakan bekas Timbalan Perdana Menteri, namun penangguhan jika dibenarkan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada perbicaraan yang sedang didengar.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd..

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN


Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 09:50 AM GMT+8 , Processed in 0.500301 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list