CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1690|Reply: 0

Rasa malu melampau

[Copy link]
Post time 30-6-2022 11:11 PM | Show all posts |Read mode
Rasa malu melampau


RASA malu yang melampau boleh beri kesan terhadap kesihatan mental dan perkembangan emosi kanak-kanak.

MALU adalah perasaan takut atau tidak selesa yang disebabkan orang lain terutama dalam situasi baru atau dalam kalangan orang yang tidak dikenali.

Ia adalah perasaan tidak senang dalam diri seperti perasaan ketakutan terhadap apa yang difikirkan orang lain sehingga boleh menghalang keupayaan seseorang untuk melakukan atau mengatakan apa yang mereka mahu dan menghalang pembentukan hubungan yang sihat.

Malah malu sering dikaitkan dengan rasa rendah diri dan ia juga mungkin salah satu punca kebimbangan sosial.

Ketua Jabatan Pendidikan & Psikologi, Fakulti Pengurusan, Pendidikan & Kemanusiaan Kolej Universiti Antarabangsa MAIWP (UCMI), Mohd Shawani Ahmad Sabri berkata, secara asasnya tingkah laku malu adalah normal terhadap kanak-kanak.

Katanya, sebagai contoh, bayi mungkin berpaut kepada ibu bapa mereka, menangis dalam situasi sosial atau secara fizikal cuba mengelakkan interaksi sosial dengan menyembunyikan kepala mereka, bergerak atau berpaling atau menutup mata.


MENUTUP mata antara tingkah laku kanak-kanak pemalu.

"Kanak-kanak prasekolah mungkin tidak mahu bercakap apabila orang yang tidak dikenali bercakap dengan mereka. Mereka mungkin bersembunyi di belakang ibu bapa atau mengelak daripada menyertai permainan atau sesuatu aktiviti.

"Sementara itu, ada sesetengah kanak-kanak di sekolah mungkin mengelak daripada menjawab soalan di dalam kelas, menghadapi masalah untuk berkawan, lebih suka duduk dan menonton orang lain bermain atau mengelakkan aktiviti baharu," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang pemalu kebiasaannya mempunyai rasa cemas atau terhalang dalam situasi yang tidak dikenali atau ketika berinteraksi dengan orang lain.

"Kanak-kanak yang pemalu berkemungkinan besar akan terkekang dengan rasa gugup jika mereka berasakan diri sedang 'diperhatikan' atau menjadi 'tumpuan,' seperti ketika bertemu orang baru atau terpaksa bercakap di hadapan orang lain," katanya.

Jelasnya, sebilangan besar kanak-kanak berasa malu dari semasa ke semasa, tetapi kehidupan sesetengahnya terjejas teruk disebabkan rasa malu mereka.

"Kanak-kanak yang mengalami rasa malu yang melampau mungkin berkembang daripadanya apabila mereka matang atau mungkin membesar menjadi orang dewasa yang pemalu. Ini impak besar terhadap kanak-kanak," katanya.


TINGKAH laku malu adalah normal terhadap kanak-kanak.

Mengulas lanjut, kajian dijalankan Robert J Coplan dan Kenneth H Rubin berkaitan 'Social Withdrawal & Shyness in Childhood' menunjukkan perbezaan biologi dalam otak orang yang pemalu.

"Kira-kira 15 peratus bayi dilahirkan dengan kecenderungan ke arah menjadi pemalu. Tetapi, kecenderungan untuk malu juga dipengaruhi pengalaman sosial," katanya.

Beliau berkata, adalah dipercayai bahawa kebanyakan kanak-kanak yang pemalu mengalami rasa malu kerana interaksi dengan ibu bapa.

"Ibu bapa yang bersifat autoritarian atau terlalu melindungi boleh menyebabkan anak-anak mereka menjadi pemalu. Kanak-kanak yang tidak dibenarkan mengalami sesuatu mungkin menghadapi masalah mengembangkan kemahiran sosial," katanya.

Tambahnya, pendekatan yang mesra dan penyayang untuk membesarkan kanak-kanak menyebabkan mereka menjadi lebih selesa apabila berhadapan atau berinteraksi dengan orang lain.

"Sekolah, kejiranan, komuniti dan budaya semuanya membentuk peribadi dan tingkah laku kanak-kanak. Bagaimana kanak-kanak menghubungkan semua rangkaian ini menyumbang kepada perkembangan mereka," katanya.

Namun, kebanyakan kanak-kanak yang pemalu tidak didiagnosis dan dirawat.

"Tidak seperti kebanyakan gangguan emosi lain, rasa malu selalunya tidak dianggap sebagai satu masalah emosi dalam kalangan kanak-kanak jika berlarutan. Selalunya, tiada tantrum atau tingkah laku agresif untuk menaikkan bendera merah dan menggalakkan rawatan diberikan," katanya.

Menurut National Alliance for Mental Illness Amerika Syarikat, kebimbangan adalah sesuatu yang lebih daripada rasa malu menjejaskan kira-kira tujuh peratus kanak-kanak berumur tiga hingga 17 tahun.

"Masyarakat kita sering memuji personaliti yang lebih mesra berbanding personaliti introvert dan ini boleh memberi tekanan kepada kanak-kanak ketika mereka melalui peringkat semula jadi perkembangan mereka.


PENDEKATAN mesra dan penyayang untuk membesarkan kanak-kanak menyebabkan mereka lebih selesa apabila berhadapan orang lain.

"Pada kanak-kanak yang lebih introvert secara semula jadi, ini boleh menyebabkan mereka rasa terpinggir dan tersisih," katanya.

Perlu diingat bahawa melabelkan kanak-kanak sebagai 'pemalu' untuk memberi alasan kepada tingkah laku yang mungkin anda rasa kurang menyenangkan atau memalukan adalah etika buruk.

"Sebagai contoh, apabila kanak-kanak enggan menyapa orang dewasa, mungkin akan mendatangkan lebih banyak kesan buruk dan mudarat daripada kebaikan kepada proses perkembangan kanak-kanak itu," katanya.

Mohd Shawani berkata, mengatasi rasa malu yang melampau adalah penting dalam membentuk kesihatan mental dan perkembangan emosi kanak-kanak.

"Psikoterapi boleh membantu kanak-kanak mengatasi perasaan malu melampau ini. Mereka boleh diajar kemahiran sosial, bagaimana untuk menyedari sifat malu mereka dan cara untuk memahami apabila rasa malu mereka adalah hasil daripada pemikiran yang tidak rasional.

"Teknik relaksasi seperti pernafasan dalaman boleh membantu kanak-kanak dan orang dewasa mengatasi kebimbangan yang mungkin didasari rasa malu. Terapi berkumpulan juga boleh membantu kanak-kanak dan orang dewasa yang mengalami perasaan ini," katanya.

Dalam hal ini, adalah perlu untuk ibu bapa menyokong dan menggalakkan anak mereka menjadi lebih mesra dan mengatasi perasaan malu yang melampau.

"Kanak-kanak berkembang berdasarkan persekitaran dan banyak dipengaruhi tingkah laku orang dewasa.

"Sebagai orang dewasa, menjadi tanggungjawab kita untuk menyokong proses perkembangan kanak-kanak yang secara asasnya berlandaskan domain perkembangan antaranya fizikal, emosi, bahasa, kognitif dan sosial," katanya.

Sumber:https://www.hmetro.com.my/WM/2022/06/856884/rasa-malu-melampau

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

23-4-2024 09:16 PM GMT+8 , Processed in 0.061382 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list