Semalam, Gempak melaporkan pihak Astro Shaw telah menandatangani lesen hak cipta adaptasi ke filem bersama pemegang IP (Harta Intelek) Keluang Man, Iconic Animation Studio Sdn Bhd bagi menerbitkan filem aksi pertama Keluang Man.
Lebih dua dekad lalu, siri animasi legenda Malaysia ini suatu ketika dahulu amat popular dan menjadi fenomena dalam masyarakat tempatan. Animasi adiwira yang diilhamkan oleh Allahyarham Haji Kamarudin Ismail bersama pengasas dan pemilik UAS Animation, Natashah Datuk Hj Mohd Noor pertama kali disiarkan pada 1998.
Netizen terutama mereka yang membesar menonton animasi berkenaan menyambut baik usaha Astro Shaw mengangkat kartun kegemaran ramai itu ke layar perak.
Rojak Daily menerusi Twitter mengajukan pertanyaan mengenai selebriti yang layak melakonkan karakter Keluang Man. Menarik perhatian ramai, netizen mulai menyarankan beberapa nama aktor yang dirasakan sesuai memegang watak utama.
Antara pelakon yang turut menjadi sebutan ialah Shaheizy Sam dan Zahiril Adzim. Tidak hanya watak Keluang Man, netizen turut mencadangkan Bell Ngasri atau Achey melakonkan karakter Tiong Man dan Nad Zainal sebagai wartawan dalam kisah animasi berkenaan.
Berdasarkan cerita animasi, Keluang Man sebenarnya adalah seorang pesakit di sebuah hospital mental di Tumpoi secara tiba-tiba berubah menjadi adiwira membanteras jenayah pada waktu malam dibantu oleh rakannya, Tiong Man.
Keluang Man tidak mempunyai sebarang kuasa ajaib namun memiliki kelebihan seperti ilmu persilatan, naluri yang kuat serta kejujuran yang tinggi. -CARI
|