|
GRACE Wong mengibarkan Jalur Gemilang meraikan kemenangannya yang meraih pingat emas di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi. -FOTO Hairul Anuar Rahim
Hanoi: Atlet tukul besi wanita negara, Grace Wong kembali meraih pingat emas yang terlepas dari genggamannya pada penampilannya di temasya Sukan Sea Vietnam 2021 hari ini sekali gus mengubati kekecewaannya di edisi tiga tahun lalu di Filipina.
Grace, 22, yang terlepas genggaman emas dimilikinya di Kuala Lumpur 2017 di tangan seteru utama dari Thailand, Mingkamon Koomphon di Filipina 2019 gembira dengan pencapaiannya di Stadium My Dinh namun tidak berpuas hati dengan balingan 57.13 meter (m) itu.
Koomphon meraih perak dengan balingan sejauh 50.28m manakala rakan senegaranya, Panwat Gimsrang gangsa, 49.64m.
Namun begitu, Grace berkata, balingan dilakukan itu masih belum memuaskan disebabkan masalah teknikal yang secara tidak langsung menyukarkan dirinya untuk melepasi 60m yang disasarkan.
"Untuk hari ini, tak begitu berpuashati kerana ia tak sama dengan (balingan) yang saya lakukan ketika latihan. Apapun saya gembira dengan pencapaian ini," kata Grace yang mengalami masalah teknikal membabitkan wayar tukul yang terlalu pendek.
"Terima kasih kepada semua, Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara. Mereka membantu kami menyediakan latihan di Korea Selatan selama 42 hari dan kami berlatih dengan baik di sana.
"Di Filipina, dia dapat emas dan saya sudah cuba yang terbaik (meraih perak) dan ia menyedihkan (tidak dapat mempertahankan emas di Kuala Lumpur 2017 di Filipina) tetapi sekarang, saya sudah OK".
Di Kuala Lumpur 2017, Grace melakukan balingan sejauh 59.24m sekali gus memperbaharui rekod temasya manakala Komphon meraih perak dengan balingan, 56.15m.
Begitupun kecemerlangan di Kuala Lumpur tidak dapat dipertahankan di Filipina apabila Grace hanya dapat berpuashati meraih perak (55.82m) manakala Koomphon memenangi acara itu, 55.99m.
Sementara itu, kejayaan Grace turut disusuli atlet tukul besi lelaki, Jackie Wong yang menukar warna pingat di Hanoi dengan meraih emas manakala rakan seperjuangan, Sadat Maryuqi Ajisan pula meraih gangsa (58.86m).
Lebih manis, kemenangan itu membantu Jackie kembali meraih emas selepas Kuala Lumpur 2017 apabila dirampas seteru Thailand, Kittipong Boonmawan di Filipina 2019.
Boonmawan meraih perak di Hanoi dengan balingan, 64.54m.
https://www.hmetro.com.my/arena/ ... s-baling-tukul-besi |
|