Selepas tujuh tahun 'berehat' dari dunia lakonan, aktres Hanis Zalikha akhirnya kembali membuat penampilan dalam filem The Assistant yang dihasilkan dan diarahkan oleh Adrian Teh (Paskal, Wira) dan Act 2 Pictures.
Hanis yang juga isteri kepada pelakon Hairul Azreen itu mengakui agak kekok untuk beraksi di hadapan kamera kerana sudah lama tidak ke set penggambaran. Dia terpaksa memperbanyakkan latihan lakonan sebelum memulakan penggambaran.
Memetik laporan mStar, ibu kepada dua orang anak itu sendiri terkejut dengan dirinya kerana boleh menerima tawaran untuk berlakon dalam filem aksi. Walaupun adegan membabitkan dirinya hanya sekejap namun Hanis tetap harus memberikan lakonan yang baik.
"Mulanya saya tak nak buat sebab sudah lama tak berlakon. Selepas berkahwin saya tidak lagi ambil sebarang tawaran berlakon. Saya muncul dalam filem ini pun sebab nak sokong Hairul.
"Dia adalah orang yang paling gembira apabila saya menerima tawaran berkenaan," katanya dalam satu temu bual.
Tambahnya lagi, kelainan jalan cerita yang ditonjolkan dalam filem The Assistant membuatkan Hanis rasa rugi seandainya menolak peluang berkenaan. Tambahan pula, kesempatan untuk melakonkan babak aksi tidak selalu datang.
"Walaupun muncul sekejap sahaja tetapi saya kena perform juga. Hanya selepas melakonkan babak aksi barulah saya faham kenapa Hairul perlu training selama tiga bulan sebelum memulakan penggambaran.
"Saya sempat jugalah masuk latihan sekejap tapi tak sempat nak fit sebab saya ada banyak benda lain nak kena uruskan. Tetapi, saya usaha berikan yang terbaik.
"Saya tak nak minta Hairul ajar sebab ada rasa malu dan manja-manja sikit. Berlainan kalau belajar dengan orang yang lain," katanya. -CARI
|