Semalam, tular sebuah video memaparkan seorang gadis yang memakai baju kurung sedang berdiri di birai tingkat paling atas sebuah pasar raya di Seksyen 7. Media tempatan melaporkan pihak bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memujuk gadis berusia 19 tahun tersebut.
Situasi itu menyebabkan orang ramai membuat spekulasi bahawa gadis berkenaan mempunyai niat untuk membunuh diri. Bagaimanapun, ketika disoal siasat, gadis tersebut mendakwa dia hanya sekadar mencari ketenangan.
Memetik laporan Harian Metro, Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, hasil siasatan turut mendapati gadis yang juga warga tempatan itu dipercayai mengalami masalah tekanan dan kemurungan.
"Bapa mangsa memaklumkan mangsa mendapatkan rawatan berkaitan tekanan dan kemurungan yang dihidapinya di Hospital Shah Alam.
"Mangsa turut menjelaskan dia tiada niat untuk membunuh diri dan berada di tembok berkenaan untuk menenangkan fikiran.
"Setakat ini, kes sudah dirujuk ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya oleh pihak hospital," katanya dalam satu kenyataan.
Tambah Mohd Iqbal lagi, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan seorang perempuan dilihat sedang berdiri di atas tembok paling atas pasar raya berkenaan.
"ihak kami juga mendapati seorang lelaki yang juga rakan mangsa mendakwa ada melihat status Whatsapp mangsa yang memaparkan gambar lokasi terbabit.
"Lelaki berkenaan kemudian bergegas ke tempat itu dan berjaya memujuk mangsa untuk turun," katanya.
Operasi menyelamatkan dan memujuk mangsa turut dilakukan dengan kerjasama pengawal keselamatan dan bomba. -CARI
|