CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 424|Reply: 0

[Kedah] Infrastruktur air Kedah ketinggalan 15-20 tahun

[Copy link]
Post time 7-5-2022 06:55 PM | Show all posts |Read mode
Infrastruktur air Kedah ketinggalan 15-20 tahun


Orang ramai mengambil peluang bergambar bersama Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada majlis rumah terbuka Aidilfitri Menteri Besar Kedah yang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon hari ini. FOTO BERNAMA


Alor Setar: Masalah gangguan bekalan air di negeri ini tidak dapat diselesaikan segera, sebaliknya kerajaan negeri memerlukan masa sekurang-kurangnya tiga tahun bagi membangunkan semula infrastruktur berkaitan.

Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata infrastruktur bekalan air negeri ketinggalan antara 15 hingga 20 tahun selain kebanyakan Loji Rawatan Air (LRA) yang beroperasi berada dalam keadaan uzur.

Jelasnya, faktor itu dilihat menjadi punca gangguan bekalan air berlaku pada sambutan Aidilfitri tahun ini, sehingga menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk terutamanya di Daerah Kuala Muda, Sik dan Baling.

"Kebanyakan masalah yang berlaku ini adalah di hujung sistem bekalan yang menyebabkan tekanan air menjadi rendah, memang kita jangka berlaku peningkatan penggunaan sehingga 30 peratus atau lebih 1,000 juta liter sehari (MLD) berbanding kebiasaan kira-kira 700MLD.

"Kita memang tidak dapat tampung kerana infrastruktur yang ada dibina sejak puluhan tahun lalu, kerajaan negeri mula bangunkan semula infrastruktur air pada 2010, tetapi ia memerlukan masa untuk diselesaikan. Jadi sama seperti saya yang bersabar, orang ramai juga perlu sabar menunggu semua infrastruktur siap," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Menteri Besar di kediaman rasminya di Seri Mentalon di sini, hari ini.

Ketika ini, berlaku rungutan dan aduan berkaitan masalah bekalan air yang kerap melanda terutamanya di kawasan selatan Kedah yang menjejaskan kehidupan puluhan ribu penduduk, walaupun SADA sudah menyediakan perkhidmatan penghantaran air menggunakan lori.

Muhammad Sanusi berkata, ketika ini pembinaan lima LRA baharu juga sedang dilakukan membabitkan kos RM931 juta dan proses penggantian sistem bekalan air pula membabitkan kos RM970 juta.

Katanya, berikutan kos keseluruhan yang terlalu besar, kerajaan negeri terpaksa mencari syarikat swasta bagi melabur dalam projek berkaitan penggantian sistem perpaipan yang mengakibatkan kehilangan Air Tanpa Hasil (NRW) sehingga 50 peratus.

"Kita sudah mendapat kebenaran Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan hanya menunggu kelulusan Menteri Alam Sekitar dan Air di mana syarikat swasta akan melabur selama 15 tahun bagi mengatasi masalah NRW yang disasarkan turun kepada 25 peratus.

"Kita perlu ganti sistem perpaipan kerana sekiranya LRA siap dibina dalam tempoh tiga tahun, ia akan mengepam lebih banyak air dan menyebabkan kita kehilangan lebih banyak NRW. Penjimatan daripada NRW ini kemudian akan dikongsi bersama pelabur terbabit," katanya.

Beliau menjelaskan, SADA juga tidak boleh beroperasi dalam keadaan rugi berterusan kerana syarikat itu perlu terus melabur dalam meningkatkan infrastruktur bekalan air sedia ada.

"Pada 2019, SADA mengalami kerugian sehingga RM36 juta, pada 2020 SADA mula catat keuntungan dan pada tahun lalu kita catat keuntungan sebanyak RM27 juta. Semua lebihan ini kita guna untuk pertingkat infrastruktur air demi rakyat.

"Orang ramai perlu faham bahawa masalah bekalan air ini buka berlaku di Kedah sahaja, negeri maju seperti Selangor juga hadapi masalah sama. Kita sedang usaha selesaikan semua masalah ini dalam tiga tahun, sementara itu semua pihak perlu bersabar," katanya.

#kw air, gangguan, infrastruktur, Sanusi Md Nor, Kedah

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT


Forum Hot Topic

 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 07:39 AM GMT+8 , Processed in 0.061060 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list