CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 281|Reply: 0

[Kedah] Rumah tiada tandas sejak 17 tahun lalu

[Copy link]
Post time 30-4-2022 12:00 PM | Show all posts |Read mode
Sik: Enam sekeluarga di sini, bukan sekadar tidur beralaskan tikar di lantai simen akibat kesempitan hidup malah rumah berkenaan juga tiada kemudahan tandas serta bilik air sejak 17 tahun lalu.

Melihatkan keadaan rumah keluarga itu di Kampung Tupai dekat sini, ia pasti membuatkan sesiapa pun tersentuh kerana kehidupan mereka yang daif.

Tingkat atas rumah berkenaan yang diperbuat daripada papan dan kayu dijadikan dapur manakala ruang bawah yang dibina lantai simen pula dijadikan tempat tidur enam beranak itu.

Rumah didiami pasangan Abdul Razak Man, 60, dan isteri, Moonee Saleh, 33, bersama empat anak lelaki mereka berusia lima hingga 16 tahun itu juga tidak mempunyai peralatan elektrik seperti televisyen, mesin basuh dan peti sejuk.

Namun, bagi Moonee, dia bersyukur kerana anak-anaknya tidak pernah sesekali mengeluh dengan kesusahan hidup ditempuh selain memahami situasi itu kerana sudah biasa dengan keadaan yang mereka hadapi.

Menurutnya, memang jika difikirkan, hidup dalam rumah yang tiada mempunyai tandas serta bilik air agak sukar namun apakan daya kerana mereka tidak mampu untuk membinanya dan hanya menumpang tandas di rumah adik ipar.

"Mujur rumah pusaka yang didiami adik ipar bersama keluarganya mempunyai tandas dan kami anak beranak menumpang menggunakannya.

"Kami sekeluarga mandi di kawasan luar rumah yang dijadikan sebagai bilik air terbuka menggunakan air telaga," katanya yang turut menjadikan ia sebagai tempat mencuci baju dan pinggan mangkuk.

Menurutnya, suami hanya mengambil upah menoreh getah dan dia pula bekerja di kedai makan namun pendapatan kedua-duanya yang tidak menentu membuatkan kehidupan mereka dihimpit kemiskinan.

"Saya bersyukur kerana berbanding dahulu, rumah asal kami sebenarnya hanya di tingkat atas dan disitulah tempat memasak, tidur serta bilik buat kami sekeluarga.

"Namun, selepas anak kedua lahir, suami membina lantai simen dan menjadikan ruang bawah yang ada sekarang untuk kami sekeluarga tidur," katanya yang turut bersyukur kerana menerima bantuan bulanan RM800 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak lebih setahun lalu.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi Moonee di talian 013-4053524.

Menurutnya, anak sulungnya sudah tidak bersekolah serta bekerja sebagai pengimpal di kampung dan wang gaji diperoleh turut diberikan kepadanya untuk menampung kehidupan mereka.

"Sepatutnya, dalam usia ini, anak perlu belajar namun dia enggan meneruskannya walaupun sudah ditegur, mungkin dia mahu bekerja untuk membantu keluarga kerana tahu kesusahan dialami.

"Satu hari nanti saya, harap anak akan terbuka hati untuk meneruskan persekolahannya," katanya.

Keluarga berkenaan ditemui ketika disantuni Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri, Pejabat Pembangunan Negeri Kedah Mohammad Zaini Mohamud pada Program Ziarah Kasih Ramadan (Zikir) baru-baru ini.

Dua tahun lalu, Moonee turut diuji apabila anak bongsu yang juga anak perempuan tunggal berusia dua tahun ditemui lemas dalam sungai berhampiran rumahnya.



MOONEE menunjukkan keadaan rumah yang didiami bersama suami dan empat anak mereka yang tidak mempunyai tandas dan bilik air di Kampung Tupai sejak 17 tahun lalu.FOTO Izad Thaqif Hassan
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 06:45 PM GMT+8 , Processed in 0.053437 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list