CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 359|Reply: 0

[Sabah] Antara khabar gembira dan berita duka

[Copy link]
Post time 15-4-2022 11:40 PM | Show all posts |Read mode
TERIMA kasih Kuala Lumpur. Syabas kepada Kerajaan Sabah. Itu yang dapat dirumuskan daripada pengumuman berhubung pemberian khas kepada Sabah yang dinaikkan mulai tahun ini.

Kenyataan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, bagi tahun ini, jumlah pemberian khas Kerajaan Pusat kepada Sabah adalah RM125.6 juta berbanding hanya RM26.7 juta sebelum ini.

Tentunya ia khabar gembira kepada pemimpin, rakyat dan negeri Sabah. Itulah hasil perjuangan bertahun lamanya. Bukti betapa Putrajaya memahami denyut nadi Keluarga Malaysia jauh di seberang Laut China Selatan ini.

Ia juga petanda bahawa prinsip kesamarataan itu sedang cuba direalisasikan peringkat demi peringkat.

Sesungguhnya, kenaikan amaun pemberian khas itu cukup signifikan jumlahnya -- diperhitungkan 4.7 kali ganda daripada jumlah terakhir yang diberikan.

Ada pandangan mengatakan bahawa kenaikan itu sepatutnya sudah lama dilaksanakan, namun ia tetap menjadi khabar gembira. Setidak-tidaknya menepis konotasi istilah `terlambat sudah'. Jika tidak sekarang, bila lagi? Justeru, kita tetap mensyukuri dan menghargai ia berlaku pada waktu ini.

Yang pasti, kenaikan pemberian khas itu membawa impak besar untuk Sabah terus melangkah pantas ke hadapan, mengejar pembangunan yang tertinggal sekian lama. Ia menyuntik dana dalam konteks menjayakan agenda Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Dalam reaksinya, Kerajaan Sabah mengalu-alukan persetujuan Kerajaan Persekutuan meningkatkan jumlah pemberian khas itu dan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor menyifatkannya sebagai satu kemajuan yang baik untuk negeri ini.

Bagaimanapun, kata beliau, perbincangan masih berjalan berkaitan tuntutan mendapatkan 40 peratus daripada hasil negeri seperti dipersetujui dalam Perjanjian Malaysia 1963.

Beliau menekankan bahawa kenaikan pemberian khas itu menunjukkan Kerajaan Pusat sedia mendengar kehendak negeri ini.

Sebagaimana nada kenyataan Ketua Menteri itu yang memancarkan refleksi rasa gembira, demikian juga rakyat terbanyak di Negeri Bawah Bayu ini. Rata-rata menyambutnya dengan berlapang dada, kerana akhirnya kita mendapat layanan yang sewajarnya daripada Kuala Lumpur.

Rasa gembira itu dikongsikan ramai orang menerusi pelbagai platform, sambil mengharapkan akan ada lebih banyak khabar gembira lagi selepas ini.

Namun, di sebalik khabar gembira itu, orang Sabah juga disajikan berita duka dan sedih sejak beberapa hari lepas -- kenaikan kadar tambang penerbangan dari Semenanjung ke negeri ini -- sehingga melepasi 500 peratus daripada kadar asal.

Laman media sosial dibanjiri luahan dan rintihan netizen. Berbagai ungkapan, bermacam kecaman dihambur sebagai protes dan ketiadakpuasan hati terhadap tindakan syarikat-syarikat penerbangan itu.

Malahan, ada yang menyifatkan ia sebagai `rompakan di siang hari' dan `menghisap darah' pengguna. Bayangkan tambang penerbangan sehala menyeberangi Laut China Selatan dikatakan melebihi RM1,000 -- dan netizen menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.

Ramai kecewa, sedih dan hampa. Impian untuk pulang kampung dari Semenanjung bertemu keluarga meraikan Aidilfitri, setelah dua tahun terpisah dek pandemik COVID-19, nampaknya sulit untuk jadi kenyataan buat masa ini. Selagi tidak ditemukan jalan penyelesaian, selagi itulah impian hanya tinggal igauan.

Harapan mereka masih samar-samar kerana peluang masih kabur-kabur, sedangkan masa semakin suntuk ketika Ramadan hanya berbaki kurang tiga minggu lagi.

Barangkali Kuala Lumpur boleh saja tampil membawa khabar gembira sebelum tibanya Aidilfitri. Syarikat-syarikat penerbangan ini berpayung di bawah Kementerian Pengangkutan, justeru kerajaan dan Kabinet boleh campur tangan bila-bila masa.

Dengarkanlah luahan rasa, selamilah rintihan hati rakyat marhaen ini agar bisikan kecil mereka tidak bertambah kuat sehingga menjadi jeritan dan tangisan, lagipun orang Sabah ini juga adalah sebahagian daripada Keluarga Malaysia yang tercinta.


utusanborneo.com.my/2022/04/15
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 03:11 PM GMT+8 , Processed in 0.062735 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list