Ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong berdepan detik mencemaskan apabila nyaris dihempap tangki tandas cangkung dalam kejadian hari ini.
Kredit foto: IG Pandalela
Kemalangan itu boleh menyebabkan kecederaan serius, namun Pandelela bernasib baik kerana hanya mengalami luka di bahagian tumit kaki kiri.
Pengalaman itu dikongsikan atlet berusia 29 tahun itu di Facebook dengan memberitahu kejadian itu akan diingati sampai bila-bila.
“Pagi yang tidak disangka dan akan sentiasa saya kenang sampai bila-bila. Saya bernasib baik kerana mengalami luka ringan.
“Tak tahu nak ketawa atau menangis,” tulisnya secara berseloroh selepas berkongsi gambar luka di kakinya dan kejadian yang menunjukkan tangki tandas cangkung itu pecah terhempas ke lantai.
Kejadian itu dikatakan berlaku di gimnasium acara terjun di Bukit Jalil.
Tangki tandas itu kelihatan tercabut daripada pemegang atau bracket di dinding dan jatuh berkecai ke lantai tandas.
Pandelela Rinong bakal menjadi sebahagian daripada peserta untuk Sukan Komanwel Birmingham Julai ini.
Sumber: MalaysiaGazette
|