Sumber God
Pempengaruh di Rusia mula memotong beg Chanel mereka sebagai tanda tindak balas langsung terhadap syarikat Chanel yang melarang penjualan barangan mewah kepada individu berhasrat untuk menggayakannya ketika berada di Rusia.
Salah seorang pempengaruh, Victoria Bonya yang turut serta dalam kempen menggunting beg jenama tersebut mendakwa, sekatan berkenaan adalah sama seperti Chanel House gagal menghormati pelangannya.
Oleh itu, sebelum memotong begnya, dia berkata, dia juga tidak perlu menghormati syarikat gergasi berkenaan.
Beberapa individu juga menuduh Chanel serta jenama lain yang enggan menjual produk kepada Rusia sebagai anti-Rusia.
DJ Katya Guseva juga mendakwa Chanel menyokong diskriminasi terhadap wanita berdasarkan kewarganegaraan.
Pengacara televisyen, Marina Ermoshkina berkongsi sentimen yang sama ketika merosakkan beg Chanel miliknya.
"Jika memiliki Chanel bermakna saya perlu menjual tanah air saya, maka saya tidak memerlukan Chanel," katanya.
Perang antara Rusia dan Ukraine menyaksikan banyak jenama terkemuka mahupun aplikasi yang menyekat penjualan barangan serta sekatan penggunaan aplikasi di negara Putin tersebut.
Menurut laporan BBC, jenama mewah gergasi keluaran Perancis iaitu Chanel turut mengambil tindakan untuk melaksanakan sekatan menjual produknya kepada individu yang berhasrat untuk membawanya ke Rusia selepas menutup butik mereka di sana.
Moscow serta beberapa pelanggan menuduh firma itu sebagai anti-Rusia dan mengancam untuk memboikot jenama berkenaan.
Dalam satu kenyataan, Chanel bagaimanapun menjelaskan pihaknya hanya mematuhi sekatan Kesatuan Eropah (EU) yang melarang penjualan barangan mewah berharga lebih daripada €300 (RM1,375). - CARI
|