Sekumpulan saintis melakukan penyelidikan dan menemukan mikroplastik di dalam paru-paru manusia hidup buat pertama kali dalam sejarah.
Lapor The Guardian, pencemaran mikroplastik ditemukan ‘bersarang’ di dalam paru-paru manusia sebagai zarah sangat kecil pada hampir semua sampel manusia yang dikaji.
 Kredit foto: Daily Mail
Menurut pasukan saintis itu, pencemaran mikroplastik kini merebak ke seluruh dunia, malah ramai dipercayai terdedah kepada masalah tersebut.
Ini sekaligus menunjukkan terdapat kebimbangan semakin meningkat mengenai bahaya kepada kesihatan manusia dan makhluk hidup lain.
Penemuan mikroplastik dalam paru-paru manusia didapati menerusi sampel diambil daripada tisu 13 pesakit yang menjalani pembedahan.
Keputusan menunjukkan mikroplastik ditemukan dalam sampel 11 pesakit.
Zarah plastik ditemukan dalam sampel termasuk yang paling biasa polipropilena (bahan asas untuk pembungkusan plastik dan paip) dan mikroplastik jenis PET (digunakan dalam botol minuman plastik).
Sebelum ini, saintis turut menemukan mikroplastik pada kadar tinggi dalam tisu paru-paru yang diambil semasa melakukan bedah siasat.
Berdasarkan hipotesis saintis, mikroplastik mendap dalam badan manusia melalui udara disedut serta melalui makanan dan minuman.
Pada Mac lalu, satu kajian mendapati mikroplastik dikesan dalam darah manusia buat pertama kali.
Ia turut menunjukkan zarah plastik itu boleh bergerak di seluruh badan dan mungkin bersarang di dalam organ.
 Kredit foto: The Guardian
Kesan terhadap kesihatan masih belum diketahui namun para saintis bimbang zarah plastik itu akan menyebabkan kerosakan pada sel manusia.
“Kami tidak menyangka akan menemui zarah plastik di bahagian bawah paru-paru seperti zarah sebesar yang ditemukan.
“Agak mengejutkan kerana saluran pernafasan lebih kecil di bahagian bawah paru-paru dan kami menyangka zarah sebesar ini akan terperangkap sebelum mencapai tahap sedalam ini.
“Data ini memberi maklumat penting dalam bidang pencemaran udara, mikroplastik dan kesihatan manusia,” kata pengarang kanan kajian dari Sekolah Perubatan Hull York di United Kingdom (UK), Laura Sadofsky.
Sumber: Utusan |