Beberapa bulan lepas, tular sebuah kisah mengenai seorang wanita yang reda apabila suaminya meninggal dunia akibat nahas lebuh raya.
Lebih menyedihkan, wanita yang dikenali sebagai Abil ini hanya sempat bergelar sebagai isteri selama 18 hari sahaja sejak berkahwin pada Januari lepas.
Sejak kematian suaminya, dia kerap menziarahi pusara Allahyarham bagi melepaskan perasaan rindunya.
Baru-baru ini, Abil berkongsikan video baru di akaun TikTok miliknya. Menerusi perkongsian itu kelihatan dia telah diajak oleh ibu mertuanya untuk mengambil kad nikah mereka di pejabat agama.
Ketika sampai, staf di pejabat tersebut sempat bertanya kepada ibu mertuanya di manakah pasangan pengantin itu. Namun, sebaik sahaja masuk ke dalam kereta terus ibu mertuanya mengalirkan air mata.
Selesai mengambil kad nikah di pejabat agama, Abil dan ibu mertuanya terus menziarahi pusara suaminya.
Menurut Abil, kad nikah tersebut merupakan perkara yang paling ditunggu-tunggu oleh suaminya, namun hajatnya untuk melihat kad berkenaan tidak kesampaian. Namun, Abil tetap membawa kad nikah itu ke pusara suaminya kerana mahu menunaikan hasratnya sebelum ini.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen turut berasa sebak mendengar cerita Abil dan ada juga yang mengatakan bahawa mereka juga berada dalam situasi yang sama dengan Abil. Kebanyakan netizen juga tampil memberikan nasihat dan semangat agar dirinya kuat hadapi segala dugaan.
Sumber: Tiktok Abil
Semoga Abil cekal menghadapi tempoh sukar ini. - CARI
|