CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2741|Reply: 0

Kegigihan Omar hasilkan 'feri' Pulau Pinang

[Copy link]
Post time 20-3-2022 01:49 PM | Show all posts |Read mode
Kegigihan Omar hasilkan 'feri' Pulau Pinang


OMAR meminati seni kraf ukiran dan menghasilkan replika ikonik Pulau Pinang. FOTO Bernama.


George Town: Jika melihat kepada fizikal Omar Juree yang tanpa kaki kiri dan jari telunjuk tangan kanan, mungkin sukar untuk percaya di sebalik keadaan itu beliau gigih menghasilkan kraf ukiran.

Meskipun bergelar Orang Kurang Upaya (OKU), Omar, 63, masih meneruskan minatnya dalam seni ukiran kayu dengan menghasilkan model ikonik Pulau Pinang seperti feri dan kereta api Bukit Bendera untuk dijual.

Omar berkata beliau kehilangan kaki kirinya akibat penyakit diabetes ketika berusia 40 tahun namun tidak mematah semangat dan minatnya untuk terus menghasilkan seni ukiran kayu pengangkutan ikonik di Pulau Pinang tersebut.

"Jari saya pula terpaksa dipotong tahun lepas kerana jangkitan kuman ketika membuat kerja-kerja ukiran," katanya yang ditemui Bernama di kediamannya di Kampung Air Itam di sini baru-baru ini.

Omar berkata minat untuk menceburkan diri dalam penghasilan kraf tangan itu lahir ketika di bangku sekolah tetapi hanya mula menghasilkan secara serius pada usia 27 tahun.

"Dulu saya tinggal di Taman Selat, Butterworth dan setiap hari naik feri ke bahagian pulau untuk bekerja sebagai penyelia di sebuah hotel. Semasa di dalam feri, saya selalu mengagumi keadaan feri itu," katanya.

Selepas berpindah ke Kampung Air Itam, Omar berkata beliau mula menghasilkan ukiran replika feri itu dengan kad manila namun disebabkan kad manila yang lembut, ukiran tersebut tidak bertahan lama.

"Kemudian, saya cuba membuat dengan kadbod dan papan lapis dan hasilnya agak kukuh. Saya juga guna cat untuk mewarnakan feri ini mengikut warna sebenar supaya hasil itu sama seperti feri sebenar," kata Omar yang dibantu isteri, Siti Fatimah Abu Bakar, 63, dalam menghasilkan ukiran.

Omar berkata kraf tangan yang menggunakan papan lapis dan kayu itu, mengambil masa kira-kira dua minggu untuk disiapkan bermula dengan proses memotong kayu, mengukir, mengecat dan seterusnya diletak dalam kotak kaca.

Menurutnya replika feri yang dihasilkan itu berukuran 30 sentimeter (cm) dan 76cm manakala yang paling besar pernah dihasilkan adalah 122cm.

"Cabaran utama menghasilkan ukiran replika feri adalah ketika proses menebuk bagi menghasilkan tingkap...ia mengambil masa dan perlu bersabar supaya hasilnya akan nampak kemas," katanya dan menambah ukiran berkenaan dijual pada harga RM250 hingga RM800 mengikut saiz.

Selain ukiran feri, Omar juga menghasilkan ukiran replika kereta api Bukit Bendera dengan menggunakan cara ukiran kayu yang sama dan ia mendapat tempahan daripada Perbadanan Bukit Bendera untuk diletakkan dalam muzium di Bukit Bendera.

Menurut Omar, beliau juga banyak menghadiahkan hasil seni ukiran kepada bekas jurulatih pasukan bola sepak Pulau Pinang Irfan Bakti Abu Salim dan juga pemain import Pulau Pinang dari Maghribi, Merzagua Abderrazak.

"Saya juga menerima banyak tempahan daripada individu, pihak swasta dan kilang untuk dijadikan cenderahati kepada kenalan di dalam dan luar negara," katanya yang telah menghasilkan lebih 500 ukiran replika feri dan kereta api Bukit Bendera.


https://www.hmetro.com.my/mutakh ... n-feri-pulau-pinang

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

28-3-2024 07:50 PM GMT+8 , Processed in 0.061019 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list