CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 267|Reply: 0

[Pulau Pinang] CAP gesa TNB batal cadangan bekal elektrik kepada pengendali kripto

[Copy link]
Post time 18-3-2022 01:31 PM | Show all posts |Read mode
CAP gesa TNB batal cadangan bekal elektrik kepada pengendali kripto

Oleh Zuhainy Zulkiffli - Mac 18, 2022 @ 12:40pm  bhnews@bh.com.my




Perlombongan mata wang kripto dikatakan akan memberi kesan sampingan yang serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, dan pemuliharaan. - Foto hiasan NSTP




GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya membatalkan cadangan bagi membekalkan elektrik kepada pengendali pelombong mata wang kripto.

Ini kerana, ia akan memberi kesan sampingan yang serius terhadap alam sekitar, penggunaan tenaga, dan pemuliharaan.

Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader, berkata cadangan bagi membekalkan elektrik kepada pelombong berkenaan itu juga tidak masuk akal kerana ia menggunakan jumlah elektrik yang banyak.

Katanya, pada asasnya melombong mata wang kripto membabitkan rangkaian mesin khas, dikenali sebagai pelantar perlombongan yang berfungsi selama 24 jam.

"Pelantar dengan tiga kad grafik bagi unit pemprosesan grafik boleh menggunakan 1,000 watt tenaga atau lebih apabila ia beroperasi.

"Ia ibarat mesin basuh yang beroperasi siang dan malam bagi setiap penggunaan pelantar dan untuk melombong mata wang kripto, beratus atau beribu pelantar akan terbabit dalam satu masa.

"CAP berpendapat bahawa melombong mata wang kripto tidak sepatutnya dibenarkan sama sekali," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Pada 2018, Jabatan Perangkaan Malaysia menyatakan bahawa penjanaan elektrik negara sebahagian besarnya bergantung kepada arang batu iaitu sebanyak 46 peratus dan gas asli (39.7 peratus).

Ia bermakna, penjanaan elektrik tidak mesra alam sekitar sepenuhnya yang menghasilkan sejumlah besar karbon dioksida, gas rumah hijau serta menyumbang kepada pemanasan global.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, pengeluaran karbon dioksida menurut TNB, dijangka meningkat antara 2018 dan 2023 disebabkan 'tambahan loji penjana elektrik gas dan arang batu yang baharu'.

Dengan itu, pelepasan mutlak juga dijangka meningkat antara 2018 dan 2023, melebihi anggaran karbon.

"Jika ini ramalannya, maka pengeluaran karbon dioksida akan meningkat lebih tinggi sekiranya TNB membenarkan pelombong mata wang kripto bagi memohon secara sah untuk mendapatkan bekalan elektrik.

"Pelantar perlombongan itu sendiri menghasilkan begitu banyak haba dan ini menyumbang kepada pemanasan global, sepertimana amaran kajian, peningkatan suhu lebih daripada 2 darjah celcius akan memberikan kesan bencana yang dahsyat," katanya.

Menurut Mohideen, TNB tidak mengambil kira masalah sisa elektronik yang ditimbulkan oleh pelantar perlombongan yang mempunyai jangka hayat purata 1.29 tahun, selain perkakasan yang rosak dan peningkatan pesat perkakasan.

"Daripada membenarkan pengendali perlombongan mata wang kripto memohon bekalan elektrik yang sah dan memberikan tarif istimewa, Malaysia seharusnya mempercepatkan pengenalan meter pintar kalis diusik di seluruh negara supaya sebarang kecurian elektrik boleh dikesan pada peringkat awal.

"Sehubungan itu, CAP ingin mengulangi pendirian bahawa TNB perlu mengelakkan strategi yang tidak berpandangan jauh serta akan membawa kepada peningkatan jejak karbon Malaysia, peningkatan gas rumah hijau dan sisa elektronik," katanya.





Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 08:15 AM GMT+8 , Processed in 0.066045 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list