|
Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dari India memecahkan Rekod Dunia Guinness selepas berjaya mengenal pasti 60 watak terbitan DC Comics.
Lapor portal UPI, Nidhish VB mengenal pasti kesemua watak fiksyen komik tersebut dalam masa seminit.
Nidhish melakukan aksi itu dalam satu acara yang berlangsung di Chennai, India, baru-baru ini.
 Kredit foto: Al Bawaba
Antara watak DC Comics yang dikenal pasti adalah Batman, Superman, Wonder Woman dan Flash daripada gambar yang dipaparkan pada skrin di acara tersebut.
Nidhish memperoleh pengiktirafan itu selepas memecahkan rekod dicatatkan sebelum ini, iaitu 52 watak komik dikenal pasti dalam masa seminit.
Sementara itu, Nidhish berkata, dia mengambil masa kira-kira sebulan untuk membuat persediaan.
“Saya sebenarnya mahu mencuba watak Marvel kerana saya suka Spiderman namun ramai gemar DC Comics, jadi saya juga bersetuju untuk melakukannya.
“Pada mulanya, ia amat mengelirukan tetapi setelah berlatih beberapa kali, saya mula mengingat semua nama watak komik tersebut.
“Saya berasa amat gembira kerana berjaya mencipta rekod baharu,” katanya kepada akhbar The Times.
Nidhish menyifatkan kejayaan meraih gelaran Rekod Dunia Guinness sebagai satu pengalaman yang hebat.
“Saya juga berharap agar dapat memecahkan rekod baharu ini pada masa akan datang,” katanya.
Sumber: Utusan |
|