]RICHARD
KOTA MARUDU: Persatuan Rungus Pitas Sabah (PISAAN) menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan pihak polis untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pengguna media sosial Facebook yang membuat hantaran berbaur perkauman.
Presiden PISAAN Richard Mazagi berkata hantaran terbabit yang ditularkan sejak awal minggu ini adalah tidak bertanggungjawab dan menimbulkan keresahan kaum terutamanya etnik orang asal di negeri ini.
“Saya menggesa pihak berkuasa menyiasat dan mengambil tindakan tegas terhadap pengguna Facebook ini yang mengaibkan banyak etnik di Sabah melalui hantaran dan komen yang menimbulkan kemarahan ramai pihak.
“Kenyataan berbaur perkauman di media sosial perlulah diambil tindakan agar tidak menjejaskan keharmonian negeri kita yang tercinta ini,” katanya.
Menurut Richard yang juga Pengerusi Gabungan Persatuan Etnik-Etnik Pitas berkata pihak berkuasa perlu menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan tegas terhadap pelaku agar dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak.
Walaupun pemilik pengguna Facebook berkenaan tidak dapat dikenal pasti Richard percaya pihak berkuasa mempunyai kepakaran untuk menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya.
utusanborneo.com.my/2022/03/10 |