CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 293|Reply: 0

[Sarawak] Pemulihan Status Sabah dan Sarawak

[Copy link]
Post time 10-3-2022 12:34 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 9-3-2022 04:35 PM



Baru-baru ini, di Dewan Rakyat, sudah ada suara dalam kalangan anggota Parlimen dari Sabah dan Sarawak membuat gesaan agar berlakunya peningkatan  jumlah kerusi Parlimen bagi kedua-dua wilayah.  Suara ini dapat dilihat dalam perbahasan Titah Diraja yang menyaksikan  Ahli-ahli Parlimen  mencadangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen perlu dilaksanakan bagi mewujudkan keseimbangan dalam komposisi pembahagian kerusi bagi Sabah dan Sarawak.

Gesaan ini bukanlah satu cadangkan yang baharu. Sudah lama gesaan ini dibuat, termasuk pihak aktivis masyarakat dan aktivitis politik. Ketika hari Sarawak pada 2020, Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Tun Openg, pernah menegaskan bahawa Sarawak akan terus memperjuangkan haknya memulihkan peruntukan satu pertiga perwakilan untuk wilayah Sabah dan Sarawak. Kini terdapat 222 kerusi Parlimen yang terdiri daripada Sabah terdapat 25 buah kerusi Parlimen manakala Sarawak mempunyai 31 buah kerusi. Kesemua ini menjadikan Sabah dan Sarawak memilik 56 kerusi Parlimen.

Pemulihan Status Sabah dan Sarawak

Abang Johari ketika wawancara khas dengan media perdana menegaskan sebelum ini bahawa  adalah mustahak bagi memulihkan status Sabah dan Sarawak sebagai rakan serantau selepas Singapura keluar pada 1965 daripada Persekutuan Malaysia. Bagi beliau, sekiranya Sarawak dan Sabah tidak mempunyai satu pertiga perwakilan masing-masing di Parlimen atau mempunyai kurang daripada satu pertiga bilangan kerusi, maka Perlembagaan perlu dipinda.

Cadangan pindaan Perlembagaan ini sebenarnya memerlukan sokongan semua. Hal ini bermakna bukan sahaja memerlukan sokongan padu  semua Ahli Parlimen di Sarawak, dan Sabah sahaja, malah memerlukan sokongan yang menyeluruh dalam kalangan Ahli Parlimen di Semenanjung Malaysia.   Situasi ini adalah tugas yang sukar sekiranya aspirasi ini kurang difahami oleh penduduk di Semenanjung Malaysia.

Mereka perlu diberikan pencerahan yang meyakinkan dan menyeluruh betapa Sabah dan Sarawak  sudah lama berhak  dan diberikan ruang sesuai bagi tujuan memperoleh hak dan ruang yang sewajarnya, sesuai dengan apa-apa yang telah dibincangkan dalam Jawatankuasa Antara Kerajaan atau dikenali sebagai Report of InterGovernment Committee (IGC).

Selama ini, selepas pembentukan Malaysia, kedua-dua negeri ini sepatutnya mengekalkan satu pertiga daripada 222 peruntukan kerusi dan jika ini tidak berlaku, pengagihan kuasa di Parlimen lebih condong kepada Semenanjung Malaysia. Demikian menurut Abang Johari ketika mengulas isu tersebut. Daripada fakta sejarah, memang ketika sebelum Singapura keluar daripada Malaysia pada 1965, terdapat  kedudukan Sabah dan Sarawak  mempunyai satu pertiga kedudukan jumlah Ahli Parlimen yang ketika itu Sarawak  mempunyai 24 kerusi Parlimen,  Sabah 16 kerusi Parlimen  manakala Singapura  terdapat 15 kerusi di Parlimen.

Selepas Singapura berpisah daripada Malaysia, peruntukan 15 kerusi tidak diagihkan kepada Sabah atau Sarawak dan hal ini merupakan satu kelompangan yang besar  dan semakin bertambah dari semasa ke semasa selepas persempadanan demi persempadanan  yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Kedudukan kerusi di Sabah dan Sarawak  masih tidak lagi mencapai satu pertiga daripada keseluruhan Parlimen Malaysia.  Hal ini menyebabkan ruang demokrasi dan hak Sabah dan Sarawak seolah-olah terhakis akibat  situasi bahana sejarah yang tidak dibaiki oleh pihak berkuasa atau kerajaan yang sedia ada.

Suara Ahli Parlimen

KetikaDatuk Rubiah Wang,  Ahli Parlimen Kota Samarahan  menyuarakan isu yang sama baru-baru ini, sentimen mencadangkan sekurang-kurangnya 28 lagi kerusi ditambah untuk kedua-dua wilayah itu bagi mencapai komposisi satu pertiga kerusi di Parlimen mendapat sambutan dalam kalangan Ahli Parlimen Sabah dan Sarawak.

Rubiah mengulangi tekad kepimpinan Premier Sarawak yang mahu melihat betapa pentingnya usaha untuk melindungi keistimewaan dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia. Hal ini kerana, hal sedemikian sejajar dengan pengumuman pindaan Perlembagaan baru-baru ini.

  Selain itu, dalam konteks kedua-dua wilayah Sabah dan Sarawak, kedudukan geografi sangat luas dan saiz Parlimen sangat besar walaupun populasi atau kepadatan penduduknya kurang. Perkara ini perlu diteliti oleh pihak kerajaan masa kini.

Perbahasan Rubiah mendapat sokongan daripada rakan Parlimennya, iaitu Datuk Wilson Ugak Kumbong, Ahli Parlimen Hulu Rajang  yang mahu  pihak kerajaan bertindak melakukan persempadanan semula bagi kedua-dua wilayah ini. Beliau memberikan contoh kawasan Parlimen beliau sendiri yang merupakan terbesar di Malaysia yang lebih besar daripada negeri Perlis. Selagi isu ini dilengah-lengahkan, ia umpama isu ‘gajah dalam bilik’ yang sangat besar, namun seolah-solah cuba dinafikan oleh pihak tertentu yang kurang faham, kurang peka dan kurang aspirasi untuk melakukan perubahan bagi menangani isu bagi mengelak isu ini menjadi wabak besar dalam isu politik yang akan dimainkan oleh pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang yang dijangka akan diadakan pada bila-bila masa.

Malah, Kerajaan Perikatan Nasional akan dilihat kurang serius untuk menangani isu ini apabila menjadi kerajaan yang memerintah. Tidak mustahil ia menjadi kritikan seolah-olah sama seperti Kerajaan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional ketika berkuasa dahulu.

Sokongan Sabah

Cadangan ini  juga sebelum ini pernah disokong kuat oleh Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Panglima Dr. Jeffrey Kitingan yang juga mempertahankan bahawa negeri-negeri Borneo mesti mengekalkan dan memegang sekurang-kurangnya 35 peratus kerusi Parlimen untuk melindungi hak dan keistimewaan kedua-dua Sabah dan Sarawak. Sama seperti Premier Sarawak, ternyata peratusan kerusi yang diperuntukkan kepada Singapura seharusnya dijadikan justifikasi untuk Sabah dan Sarawak diberi lebih banyak kerusi.

Hakikatnya, Sarawak dan Sabah kini hanya mempunyai 25 peratus daripada keseluruhan 222 kerusi Parlimen, berbanding 35 peratus pada pilihan raya umum 1964 ketika Singapura masih bersama Malaysia. Kritikan Jeffrey Kitingan sangat pedas apabila beliau mengkritik situasi di Sabah sendiri yang situasi perwakilan yang ada bertambah kurang bersifat tempatan. Hal ini  berlaku kerana majoriti kerusi dipegang oleh parti berasaskan Malaya. Hal inilah yang beliau tegaskan dalam satu kenyataan bahawa, “Bolehkah kita memastikan hak perlembagaan kita akan terpelihara apabila kita tahu bahawa Ahli Parlimen wajib mengundi mengikut pendirian parti mereka dalam isu walaupun ia menjejaskan Sabah dan Sarawak?” (https://borneonews.net/2022/02/2 ... arliamentary-seats/).

Beliau juga selaku Timbalan Ketua Menteri Sabah berikrar menyokong pendirian Kerajaan Sarawak dan akan terus menuntut satu pertiga daripada kerusi Parlimen seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).  Menurutnya, parti STAR sentiasa menuntut perkara ini walaupun sebelum  berkuasa sebelum ini  dan akan terus berjuang ke arah tersebut hingga Kerajaan Pusat akur dengan tuntutan tersebut.

Berdasarkan sentimen yang sedang berlangsung ini, tibalah masanya Ahli-ahli Parlimen Sabah dan Sarawak bersatu ke arah matlamat yang sama. Cuma menjadi cabaran adalah, parti di Sabah yang terdiri daripada parti dari Semenanjung seperti Parti Bersatu,  Parti UMNO, MCA yang aktif di Sabah, sama ada  cenderung menyokong hak-hak negeri seperti ini atau terus akur dengan sentimen kuasa di Putrajaya.  Perkara yang penting sekali adalah untuk meyakinkan semua pihak tanpa mengira ideologi parti dan negeri, etnik dan agama untuk menyokong peningkatan perwakilan di Dewan Rakyat.

Perlu juga kajian menyeluruh, sama ada ini ada langkah terbaik atau terdapat strategi lain untuk memastikan kuasa dan hak Sarawak dapat diperkasakan dalam bentuk yang lebih baik, khususnya melibatkan pertambahan peruntukan kewangan kepada pembangunan dan rakyat. Perkara ini penting agar tidak mengecewakan rakyat Sabah dan Sarawak.

Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi ialah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL)

Dr Awang Azman


Utusan Sarawak  
March 9, 2022

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 09:13 AM GMT+8 , Processed in 0.065512 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list