CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 325|Reply: 0

[Sarawak] Hantu Tahajud

[Copy link]
Post time 10-3-2022 12:32 AM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 9-3-2022 04:33 PM



HENING benar suasana kampung tengah malam itu. Heningnya berbeza dengan suasana hati Wawa yang berkecamuk. Jeritan ragu, teriakan resah serta suara hujatan saling bersahut-sahutan.

Angin yang begitu dingin menghembus menggambarkan dinginnya penerimaan orang-orang kampung terhadapnya. Daun-daun mati yang berserakkan di atas jalan ibarat petanda berakhirnya peluang untuk mengubah semua yang pernah terjadi.

Pun begitu, dia sudah membulatkan tekad. Dia mahu menjadi lebih baik. Kendatipun cubaannya berat, dia akan belajar untuk bersabar. Barangkali semua ini adalah balasan di atas dosa-dosa yang pernah dilakukan.

Wawa sampai ke surau kampung. Keadaan surau waktu itu masih gelap dan sunyi. Fikirnya, mungkin dia yang datang terlalu awal. Dia masuk. Pintu surau dibiarkan terbuka bagi menunggu jemaah lain.

Sebak rasa hatinya sebaik satu demi satu lampu dia nyalakan. Selama ini dia tidak menyedari bahawa tempat inilah yang harusnya disinggahi sejak dulu. Sebuah tempat yang tenang serta penuh dengan pengajaran.

Entah kenapa pilihannya selama ini malah lebih berpihak pada suasana suatu tempat yang gelap serta kacau-bilau. Kononnya tempat sekalut itu mampu untuk menghilangkan segala tekanan.

Mungkin ada benarnya kerana di tempat itu semua orang akan melupakan ikatan diri mereka pada tujuan mereka diturunkan ke dunia. Ikatan yang penuh dengan aturan itu bagaikan penjara yang menghalang mereka menikmati dunia sepuas-puasnya.

Sudah alang-alang datang, rugilah jika hadir hanya sebagai pengunjung. Sasarannya harus lebih tinggi agar tidak dipandang sebelah mata. Jangan mentang-mentang dia orang kampung, dia tidak mampu menarik perhatian.

Dia berdandan secantik mungkin. Dengan barang-barang berjenama lagi mahal, dia tampil penuh percaya diri. Tidak lupa pakaian menjolok mata juga solekkan tebal menutupi noda, dia berlagak persis seorang ratu.

Di sanalah dia mengekspresikan diri. Menjadi diri sendiri tanpa mempedulikan orang sekeliling. Jelingan sinis terlindung oleh malap cahaya lampu yang berkelap-kelip. Suara kecaman tenggelam oleh bunyi muzik yang berdentam-dentum.

Benarlah kata pepatah, ikut hati mati ikut rasa binasa. Namun selagi tidak dituruti, rasa dan hati itu tidak akan belajar. Anggaplah sahaja ini sebahagian daripada perjalanan yang perlu ditempuh untuk menjadi lebih dewasa.

Selang 30 minit kemudian, jemaah yang ditunggu tidak juga kelihatan padahal pada setiap malam mereka akan berkumpul untuk solat tahajud berjemaah. Wawa cuba berfikiran positif. Mungkin malam yang sesunyi itu akan menjadi malam paling khusyuk untuk memohon keampunan dari Yang Maha Mengampuni.

Dia pun pergi ke bahagian belakang surau untuk mengambil wuduk. Suasana di sana ternyata berkali-kali ganda lebih mencekam dari keheningan jalan kampung tadi. Dingin anginnya juga bukan lagi menyapa lembut tetapi mendarat kasar ke kulit.

Pohon-pohon rendang yang tegak berdiri bagai bukan tempat yang mesra untuk menjadi teduhan. Namun tidak mungkin juga ada yang mahu berteduh pada waktu-waktu seperti ini. Bukannya ada pancaran terik Matahari untuk dielakkan. Wawa menghela nafas tanda bingung akan pemikirannya sendiri.

Dia meneruskan sahaja niatnya. Setiap sapuan air dihayatinya penuh keinsafan. Seperti hadis yang  menjelaskan bahawa sesiapa yang berwuduk dengan sempurna maka seluruh dosa-dosanya akan gugur bersama air yang berjatuhan.

Kepala, muka, hidung, mulut, telinga, tangan serta kaki adalah tujuh anggota wuduk. Ketujuh-tujuhnya menjadi medium utama untuk manusia melakukan dosa yang nantinya akan menyebabkan mereka tercampak ke ngangaan tujuh pintu neraka.

Tujuh anggota ini dia ratakan dengan air sebanyak tiga kali dengan penuh makna. Sapuan pertama adalah untuk berhenti dari terus melakukan perkara yang dilarang. Sapuan kedua sebagai tanda penyesalan. Sapuan ketiga merupakan azam untuk tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi.

Semoga kejernihan setiap sapuan air wuduk itu dapat memudarkan rasa malunya setiap kali berdepan dengan orang kampung. Malu bukan kerana tiada busana yang menutupi tubuh tetapi kerana tiada hujah bela untuk mendepani mereka yang pernah dianggap musuh.

Masih segar dalam ingatannya saat pertama kali menjejakkan kaki ke kampung selepas berkelana tanpa hala tuju di kota. Dia langsung tidak berani menatap ke mata-mata yang memandang ke arahnya.

Dia pernah terlalu sombong dengan naluri yang dimiliki. Dia tidak menghiraukan teguran mahupun nasihat. Dia teguh mengatakan bahawa tidak ada sesiapa pun yang dapat menghalang keinginannya.

Sesekali dia akan singgah ke kampung. Sekadar untuk menunjukkan segala yang diperolehnya di bandar. Dengan rambut berwarna, pakaian terbuka, hidung bertindik dan gaya bicara yang menunjukkan unsur kekinian.

Diceritakanlah olehnya kepada pemuda kampung tentang kehidupan di bandar. Kebebasan yang tidak mungkin didapatkan di kampung dengan penduduk yang masih berfikiran kolot.

Ironinya, kini dia malah tertunduk malu. Dia kembali dengan segunung penyesalan. Barulah dia sedar bahawa benang yang basah memang tidak akan mampu untuk ditegakkan.

Penyesalan itu terbit tatkala dia ditangkap dalam satu serbuan di salah sebuah kelab malam yang sering dia kunjungi. Syukur kerana dia tidak dijatuhkan dengan hukuman berat. Dia hanya dibawa ke pusat pemulihan akhlak untuk dipulihkan.

“Siapa pun kita, besar mana pun dosa kita, Allah tetap sayang….” Kata ustaz yang ditugaskan untuk memberi motivasi.

Tangis Wawa pecah sepecah-pecahnya. Kata-kata yang sederhana tetapi begitu mendalam maknanya. Menjadi kunci yang membuka pintu untuknya kembali ke fitrah yang seharusnya.

Seusai Wawa mengambil wuduk, dia pun berjalan masuk ke surau. Rasa gelisah tiba-tiba muncul. Entah kenapa, dia berasa seolah-olah ada seseorang yang sedang memerhatikannya dari arah pokok-pokok.

Sewaktu matanya mengerling ke sana, tiada barang sekelibat manusia pun yang terlihat. Hanya lambaian daun-daun yang ditiup angin sahaja yang seolah-olah sedang menyapa kehadirannya.

Perasaan gelisah itu pun diabaikan begitu sahaja. Namun sebaik dia hendak melangkah masuk semula ke dalam surau, satu terpaan angin kencang terasa di pipi kirinya. Ibarat ada seseorang yang sedang berlari dengan kecepatan tinggi datang dari arah depan lalu melanggar tubuhnya.

Panjang Wawa mengucap. Dia meletakkan tangan di dada. Umpama seorang mak cik tua yang sedang melatah, terkumat-kamit jantungnya mendegupkan kata-kata kesat kerana terperanjat.

Tanpa mahu menoleh ke belakang, cepat-cepat dia masuk lalu menutup pintu. Fikirnya, rumah Allah adalah tempat paling selamat daripada apa jua jenis gangguan. Dia duduk bersila di atas hamparan sejadah untuk menenangkan diri.

Dia merenung ke arah mimbar. Terbit rasa ragu pada dirinya sendiri. Seingatnya, sejak memilih untuk kembali ke jalan ini, dia belum pernah solat sendiri. Baik yang wajib atau yang sunat, dia akan melaksanakannya secara berjemaah.

Maklumlah, dia baru sahaja mula belajar semuanya dari awal. Akibat sudah terlalu lama meninggalkan amalan-amalan itu, tanpa sengaja ia terpadam dari ingatan. Apabila memulakannya semula, memorinya pula yang sudah mulai perlahan. Sudah tidak larat menyerap ilmu secepat serta sebanyak dulu.

Hendak disesalkan pun perkara sudah terjadi. Yang mampu dilakukan hanyalah memperbaiki diri dan menjadi lebih baik. Hanya dia yang tahu bahawa melawan naluri sendiri adalah jauh lebih perit dari melawan prasangka orang sekeliling.

Wawa berdiri dengan tubuh yang ditegakkan. Kaki dibuka sejengkal jari di tangan. Songkok di kepala dibetulkan. Kain pelekat dirapikan. Seraya menarik nafas, bacaan Basmalah dilafaz penuh penghayatan.

“Bukan Wawan tapi Wawa….” Tegas Wawa, lembut.

“Nama kau tu Azwan. Kau tu jantan. Tak kuasa aku nak panggil kau Wawa!” Marah salah seorang pemuda kampung.

“Nanti aku buatlah pembedahan. Masa tu nanti, jangan pula kau yang masuk meminang….” Balas Wawa bernada geram.

“Ish, geli aku!” Tolak pemuda kampung itu lalu cepat-cepat pergi.

Belum sempat dia selesai membaca niat, memori kelam itu meragut khusyuknya. Malu benar rasa hatinya tatkala peristiwa seumpama itu muncul di dalam benaknya. Andai dapat segera dipadam, tidak mahu dia mengingatnya lagi.

Sekali lagi dia melafazkan Basmalah. Harapnya, kali ini dia mampu untuk lebih khusyuk. Percubaan pertama ini tentunya penting untuk mendirikan solat-solat yang akan datang walaupun tanpa pimpinan imam.

Dia memulakan solat malamnya dengan solat sunat Taubat sebanyak dua rakaat. Disebabkan belum mampu menghafal surah-surah panjang, surah al-Ikhlas menjadi surah sunat pilihannya pada setiap rakaat.

Perasaan gelisah itu berulang lagi. Perasaan yang lagi-lagi mengusik rasa taatnya dalam mengerjakan solat. Dia yakin bacaannya betul tapi dia tidak yakin yang dia berada di sana bersendirian.

Sepanjang dua rakaat solat Taubatnya itu, ekor mata kanannya berkali-kali merakam kelibat berlalu-lalang di beranda surau. Jikalau kelibat itu milik jemaah lain yang baru datang, mengapa hanya berjalan di luar?

Mungkin kelibat yang mundar-mandir di luar itu adalah salah seorang jemaah yang kurang senang dengan kehadirannya. Terlalu jijik untuk mendekati pendosa yang pernah terlalu larut di dalam tipu daya dunia.

“Alamak, batal air sembahyang aku! Kau masuklah kat saf perempuan kat belakang tu! Eh, kau lupa bawa telekung, ya?” Usik salah seorang jemaah lelaki saat Wawa berdiri di sebelahnya.

“Tergedik-gedik! Cubalah keras sikit badan tu berdiri tegak. Baik buka sajalah songkok kau tu. Buat kotor sejadah je!,” bebel seorang lagi jemaah, kasar.

Sindiran yang acap kali Wawa terima. Sejujurnya, dia tersinggung tetapi dia tidak mampu membalas. Kadang-kadang ejekkan itu membuatnya ragu untuk meneruskan penghijrahan ini.

Kuditimbang tanpa neraca di awal usia. Kudihukum masuk neraka oleh manusia…,” lirik lagu Malique Ibrahim yang sering terngiang-ngiang di telinganya.

Satu pertanyaan besar yang selalu bermain-main di fikirannya. Pertanyaan yang entah pada siapa harus dia bertanya atau di mana untuk mendapatkan jawapannya. Adakah ibadah hanya milik orang beriman?

Jika ya, bererti para pendosa tidak punya peluang untuk mencari hidayah kerana tidak semua orang bertuah dikurniakan dengan petunjuk yang nyata. Sebahagiannya perlu mencari sendiri jalan untuk menemukan cahaya yang terang itu.

Seandainya pula jawapannya adalah tidak, mengapa para pencari jalan lurus ini diusir kembali ke simpang kejahilan? Jalan lurus tentu tidak punya syarat kelayakan. Asalkan punya kesungguhan, siapa pun pasti boleh melaluinya.

Yang pasti, inilah dugaan yang perlu dia hadapi bagi menguji janji yang telah dia lafazkan sendiri. Dia cukup sedar bahawa niat tidak memadai. Sabar dalam usaha adalah kunci utama.

Seraya beristighfar, dia menyapu wajahnya agar tidak terlalu tenggelam dalam fikiran negatif. Seperti niat solat sunat Taubat yang didirikan, dia harus benar-benar teguh memohon keampunan dari Allah Yang Maha Mengampuni.

Wawa menoleh ke arah kanan. Pintu utama surau terbuka luas. Anehnya, tiada sesosok makhluk bernyawa pun yang terlihat. Dia menoleh ke kiri. Pintu untuk ke tempat wuduk, sudah dia tutup rapat. Dari tingkap yang bercermin tembus pandang, dia masih melihat lambaian daun-daun pokok yang sama. Badannya dipusingkan sedikit ke belakang dan ruangan surau tetap kosong tanpa jemaah lain.

Pandangannya dihalakan semula ke arah kiblat. Ditepisnya segala kekalutan yang menguasai minda. Barangkali disebabkan lupa minum kopi, dia berasa mengantuk hingga muncul halusinasi.

Pemuda itu kembali berdiri. Kali ini dia mahu melaksanakan solat sunat Tahajud. Solat sunat yang paling istimewa kerana didirikan sewaktu sebahagian besar manusia sedang hanyut dibuai lena.

Bacaan surah al-Fatihah dia baca dengan lancar. Disusul pula dengan surah lazim yang menjadi satu-satunya surah yang dia hafal iaitu surah al-Ikhlas. Dia kemudiannya rukuk, sujud dan berdiri untuk rakaat kedua tanpa masalah.

Tepat di saat Wawa mengangkat takbir rakaat kedua, seluruh bulu roma yang tumbuh di sekujur tubuhnya, tiba-tiba sahaja berdiri. Jantung yang letaknya di dalam tubuh juga tak semena-mena berdebar bagai mengisyaratkan suatu kehadiran.

Dia cuba fokus pada solatnya. Meskipun sedikit terketar-ketar, dia tetap membacakan surah Al-Fatihah hingga selesai. Beberapa saat diambil untuk mengatur nafas sebelum bacaan surah al-Ikhlas dia mulakan.

Serentak dengan kalimat pertama pada ayat permulaan yang dibaca, satu suara asing terdengar betul-betul di telinga kiri Wawa. Suara seperti seseorang yang sedang berbisik tetapi butir-butir katanya tetap jelas terdengar.

Qulhu… Qulhu… Qulhu… Qulhu… Qulhu…

Semakin lama suara itu semakin mendayu. Bacaan Wawa pun berterabur. Dia berasa terganggu. Dia mengulang-ulang bacaannya tetapi masih tersasul. Dia sudah tidak tahan lagi. Dia lantas menoleh ke arah suara itu.

Hampir meletup jantung Wawa sewaktu melihat sesosok lembaga berbaju putih lusuh, berambut panjang dan berkulit pucat lesi sedang menekapkan wajah serta kedua-dua belah tangannya ke cermin tingkap.

Persis seorang kanak-kanak yang sedang mengejek, lembaga itu tersenyum lebar lalu menggoyang-goyangkan kepalanya ke kanan dan ke kiri sambil tidak berhenti-henti berkata “Qulhu… Qulhu… Qulhu…”

Wawa pun pantas berlari keluar dari surau. Dia berlari sekuat-kuat hati. Terlalu kuat hingga berniat untuk tidak lagi mahu kembali. Iman yang pernah runtuh, belum sempat dibina kukuh, kini bahkan mungkin akan terkubur. Cukuplah sudah diolok-olok.

Oleh INTAN ZUBAIDAH


Utusan Sarawak
March 9, 2022

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 10:25 PM GMT+8 , Processed in 0.636118 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list