CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 406|Reply: 0

[Pulau Pinang] 'Jangan bangkitkan kemarahan kami'

[Copy link]
Post time 4-3-2022 06:17 PM | Show all posts |Read mode
'Jangan bangkitkan kemarahan kami'
MOHD ISKANDAR OTHMAN | | 04 Mac 2022


Wakil Gabungan NGO Islam Pulau Pinang (tiga dari kiri) menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Sulit Timbalan Ketua Menteri I, Tabien Sahri di Komtar pada Jumaat.


GEORGETOWN - Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Pulau Pinang meminta kerajaan negeri menegur sikap tiga pemimpin di negeri ini termasuk Timbalan Ketua Menteri II, P Ramasamy yang sengaja membangkitkan kemarahan umat Islam dalam isu tiga kanak-kanak mualaf.


Jurucakapnya, Ahmad Yakqub Nazri berkata, Ramasamy bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, Satees Muniandy dan Ahli Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) David Marshall sebelum ini banyak mengeluarkan kenyataan fitnah, berbaur provokasi serta mengundang kebencian antara agama berhubung isu berkenaan.


Menurutnya, tindakan mereka jelas melampau, sangat tidak bertanggungjawab yang mampu mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan negara.


"Mereka dilihat sengaja melakukan provokasi melampau dengan mengeluarkan pelbagai kenyataan berbaur hasutan, kebencian, fitnah dan propaganda yang jauh tersasar daripada fakta sebenar dalam usaha mereka untuk cuba mencetus api perkauman.


"Kenyataan mereka yang mahukan tiga kanak-kanak dimurtadkan dan kembali memeluk agama Hindu juga melampau," katanya ketika mengadakan himpunan Solidariti Umat Islam Pulau Pinang Pertahankan Akidah di Masjid Simpang Enam di sini pada Jumaat.


Dalam perhimpunan itu, kira-kira 50 individu yang mewakili 44 NGO Islam berarak dari Masjid Simpang Enam ke Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) bagi menyerahkan memorandum kepada Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.


Ahmad Yakqub berkata, isu berkenaan perlu ditangani segera dengan tegas bagi memastikan provokasi dan propaganda mereka tidak mencetus api perkauman.


Katanya, Gabungan NGO Islam Pulau Pinang mendesak agar Ahmad Zakiyuddin yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam memanjangkan tuntutan mereka kepada Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak supaya isu berkaitan cubaan memurtadkan tiga kanak-kanak itu dibawa dalam perbincangan Mesyuarat Majlis Raja-raja Melayu.


Tambahnya, mereka juga menuntut Ahmad Zakiyuddin membawa isu tersebut ke dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya Ramasamy berhenti mengeluarkan kenyataan menghasut kaum Hindu yang kononnya tiga beradik itu telah dilarikan dan dipaksa memeluk agama Islam.


“Kami juga menuntut campur tangan Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor dalam memastikan akidah tiga beradik tersebut terus dipertahankan melalui sesi pertemuan secara bersemuka dari semasa ke semasa untuk berbincang soal berkaitan dengan pendidikan Islam dan ibadah.


“Kita mahu tiga kanak-kanak itu terus dibimbing supaya mereka istiqamah dan bersemangat untuk kekal sebagai seorang Islam dan tidak dimurtadkan,” katanya.


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini memerintahkan tiga beradik yang dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat diserahkan dengan segera kepada ibu mereka, Loh Siew Hong, selepas membenarkan permohonan habeas corpus difailkan ibu tunggal itu.


Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin sebelum ini juga dilaporkan mengesahkan bahawa tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun itu telah memeluk Islam.


Siew Hong bagaimanapun telah membuat laporan polis bagi meminta memulangkan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah NGO mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.


Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan bekas suaminya, M Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya.


Sebelum ini, media melaporkan Ramasamy turut meminta polis menyiasat keberadaan tiga kanak-kanak itu.


Ramasamy juga menyifatkan kes itu seolah mengulangi apa yang berlaku kepada anak-anak Indira Gandhi selepas bercerai dengan suaminya yang memeluk Islam.




Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... tkan-kemarahan-kami
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 02:43 AM GMT+8 , Processed in 0.053450 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list