CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 331|Reply: 0

[Sabah] Penduduk 5 Kampung Di Pitas Rayu Bina Semula Jambatan Gantung

[Copy link]
Post time 21-2-2022 04:23 AM | Show all posts |Read mode


KOTA KINABALU: Penduduk lima kampung di Pitas merayu pihak berkuasa membina semula jambatan gantung di Sungai Bengkoka, di sini, yang rosak akibat banjir besar di daerah itu, baru-baru ini.

Menurut mereka, jambatan itu satu-satunya laluan ke klinik kesihatan terdekat selain untuk murid ke sekolah yang terletak di seberang sungai.

Antara kampung terlibat ialah Kampung Bilangau Besar, Sapatalang, Salungkapit, Mandurian Laut, dan Kobon.

Ketua Kampung Bilangau Besar, Eddwoed Upak, berkata jambatan itu rosak teruk selepas banjir besar pada Januari dan sehingga kini ia belum dibaiki sekali gus tidak selamat digunakan.

Katanya, keadaan itu memaksa penduduk khususnya kanak-kanak menaiki perahu untuk ke seberang dan ia dikatakan bahaya kerana boleh mengundang risiko terjatuh ke sungai yang turut dihuni buaya.

“Jambatan ini sebenarnya mula mengalami kerosakan sejak banjir yang berlaku pada Disember lalu dan semakin teruk apabila gelombang kedua banjir berlaku pada Januari.



“Keadaannya sangat teruk sehingga saya sendiri mengambil keputusan menutupnya bagi mengelak ia digunakan terutama kanak-kanak yang bersekolah di seberang sungai.

“Sejak jambatan itu ditutup murid terpaksa membayar tambang untuk menggunakan perahu ke seberang dan pernah berlaku, seorang murid tergelincir dan hampir terjatuh ke dalam sungai, mujur jaket keselamatannya tersangkut pada hujung perahu.

“Selain murid sekolah, jambatan itu sebelum ini juga digunakan penduduk ke klinik kesihatan terdekat di seberang sungai,” katanya kepada FMT.

Eddwoed berkata, jambatan itu dibina lebih 30 tahun lalu dan ia memberi banyak manfaat kepada penduduk di situ.

Katanya, selepas jambatan itu ditutup, penduduk kampung tiada cara lain iaitu terpaksa menaiki perahu untuk ke seberang selain menggunakan laluan darat yang sangat jauh.

Sehubungan itu, Eddwoed menyeru pihak berkaitan menyegerakan pembaikan jambatan itu demi memastikan keselamatan penduduk terjamin.

“Bagi saya, jambatan ini lebih baik dibina semula, kalau sekadar dibaik pulih, masalah sama pasti berulang jika banjir melanda lagi.

“Saya tidak mahu menuding jari kepada mana-mana pihak tetapi saya mahu menyuarakan perkara ini demi keselamatan penduduk.

“Selain risiko jatuh ke sungai terutama kanak-kanak, sungai ini juga dihuni buaya, bukankah ia bahaya kerana malang tidak berbau,” katanya. – FMT


Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

26-4-2024 06:12 AM GMT+8 , Processed in 0.055606 second(s), 28 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list