CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1376|Reply: 0

Alfa Romeo Tonale 2022

[Copy link]
Post time 9-2-2022 05:09 PM | Show all posts |Read mode


Alfa Romeo akhirnya mendedahkan SUV bersaiz jauh lebih kecil dari Stelvio, digelar sebagai Tonale. Model serba baharu ini direka sebagai lawan terus kepada SUV kompak Eropah lain seperti BMW X1 dan Mercedes-Benz GLA, menampilkan dimensi 4.53 meter panjang, 1.84 meter lebar dan 1.6 meter tinggi.

Tonale ditawarkan dengan dua pilihan unit rangkaian kuasa hibrid elektrik. Varian paling bawah dijana oleh enjin 1.5 liter empat silinder kitaran Miller dengan nisbah mampatan 12.5:1, bersama pengecas turbo geometri bervariasi. Enjin tersebut hadir dengan dua pilihan talaan iaitu 130 PS dan 160 PS (tork maksima adalah 240 Nm untuk kedua-duanya), digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan bagi memacu roda hadapan.

Enjin tersebut juga menerima sistem hibrid ringkas 48-volt yang menampilkan motor elektrik berkuasa 15 kW (atau 20 PS) dan tork 55 Nm. Motor berkenaan bukan sahaja bertindak sebagai motor penghidup untuk enjin, malah ia turut mampu menggerakkan SUV tersebut dengan kuasa elektrik sepenuhnya pada kelajuan rendah.

Menurut Alfa Romeo, unit rangkaian kuasa petrol dengan sistem hibrid ringkas ini mampu menawarkan penggunaan bahan api setanding dengan diesel, tetapi memberikan kelebihan dengan menampilkan “penghantaran kuasa yang sangat linear dan pecutan yang konsisten”.



Model paling berkuasa digelar sebagai Tonale Q4, menampilkan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV). Varian ini menerima enjin petrol turbo 1.3 liter Multiair (dari siri barisan Enjin Kecil Global Stellantis) untuk memacu roda hadapan, serta motor elektrik yang jauh lebih berkuasa untuk memacu gandar belakang.

Gandingan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan 275 PS, membolehkan Tonale PHEV ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.2 saat. Motor elektrik yang dibekalkan menerima kuasa dari bateri 15 kWj, membolehkan model ini bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya sejauh 80 km. Bateri berkenaan boleh dicas secara plug-in seperti kereta elektrik sebenar. Dengan pengecas AC 7.4 kW (kadar maksimum yang boleh digunakan), bateri tersebut boleh dicas penuh hanya dalam masa 2.5 jam.

Untuk casis, suspensi hadapan Tonale menampilkan Topang Mcpherson dengan rekaan geometri yang dioptimakan untuk alihan arah yang pantas dan kawalan jitu serta mengurangkan gangguan stereng. Manakala untuk suspensi belakang, SUV Itali ini diberikan sistem pautan tiga lengan.

Tonale juga ditawarkan dengan sistem suspensi adaptif (yang dibangunkan bersama Marelli), bersama unit differential belakang kunci sendiri untuk semua varian. Menurut Alfa Romeo, Tonale bukan sahaja model paling efisien, malah ia adalah model dengan sistem stereng paling terus dalam kelasnya serta menampilkan agihan berat yang “sempurna”.



Beralih kepada rupa luaran, Tonale menampilkan muka yang diberikan ‘perisai Scudetto’ ikonik sebagai perumah untuk logonya, yang kini direka terapung dan bukan lagi sebahagian dari bampar hadapan. Ia juga diberikan lampu LED penuh ‘3+3’ bersama jalur lampu nyalaan siang LED bina dalam serta teknologi matrix. Jalur LED dengan rekaan sama turut dihasilkan untuk grafik lampu belakang.

Tonale diberikan pilihan rim pelbagai saiz bermula dari diameter 17- hingga 20-inci. Turut tidak ketinggalan, rim dengan rekaan teledial ikonik Alfa Romeo juga dihasilkan untuk Tonale.

Walaupun Tonale adalah SUV kompak, kabin model ini masih direka dengan inspirasi warisan sejarah perlumbaan Alfa Romeo, menampilkan ciri ditumpukan kepada pemandu. Kesemua butang kawalan diletakkan pada posisi yang mudah dicapai oleh pemandu, serta diberikan sepasang pedal penukar gear aluminium di belakang roda stereng tiga jejari.

Pemandu juga menerima paparan instrumen digital sepenuhnya dengan skrin 12.3-inci, manakala sistem infotainmen pula menampilkan skrin sesentuh 10.25-inci yang diletakkan di tengah papan pemuka, bersama hubungan 4G, Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.



Papan pemuka Tonale turut menampilkan liang udara berbentuk turbin pada kedua-dua sisi, manakala pada bahagian panel terowong tengah dan pemegang tangan diberikan perapi dengan tekstur seakan batu permata. Untuk upholsteri, pelbagai material ditawarkan dari fabrik neoprene sehingga kulit vegan.

Perincian lain yang turut diberikan pada Alfa Romeo Tonale ini termasuk sistem pendingin hawa automatik dua zon, tempat duduk hadapan dengan liang dan sistem pemanas, sistem lampu suasana, sistem bunyi Harman Kardon dengan 14-pembesar suara, pintu tailgate bantuan kuasa, dan juga tray pengecas telefon pintar tanpa wayar.

Ia juga menerima sistem bantuan pemanduan keselamatan dengan fungsi autonomi Tahap 2. Antara sistem yang dibekalkan tersebut termasuk cruise control adaptif dengan bantuan kekal tengah lorong, pengenal tanda trafik, sistem brek kecemasan automatik dengan pengesan pejalan kaki dan penunggang basikal, lampu tinggi adaptif dan juga pengesan keletihan pemandu.

Ia juga ditawarkan dengan sistem opsyen keselamatan lain termasuk pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan juga sistem kamera pemantau sekeliling 360-darjah.
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 09:29 AM GMT+8 , Processed in 0.441835 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list