BANJIR: Anggota keselamatan membantu memindahkan mangsa banjir ke PPS terdekat.
PITAS: Seramai 316 mangsa daripada 97 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini akibat terjejas banjir.
Menurut kenyataan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sabah, setakat jam 12 tengah hari ini, mangsa yang terjejas melibatkan seramai 81 lelaki, 118 wanita, 56 kanak-kanak lelaki, dan 61 kanak-kanak perempuan.
Seramai 108 mangsa membabitkan penduduk dari Kampung Tambilidon, Kalumpang, Taka, dan Saab Darat dipindahkan di PPS Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Pitas II.
Penduduk dari Kampung Rukom Ulu iaitu seramai 135 orang dari 36 keluarga ditempatkan di PPS Dewan SK Rukom, manakala 73 mangsa dari Kampung Kusilad ditempatkan di PPS Dewan Kampung Kusilad di sini.
Kesemua mangsa banjir di PPS Dewan SK Pekan II dan Dewan SK Rukom mula dipindahkan bermula jam 4 petang semalam, manakala PPS Dewan Kampung Kusilad dibuka pada jam 6 petang hari yang sama.
Selain itu, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kudat turut memaklumkan setakat jam 8 pagi hari ini, tiada PPS dibuka di daerah itu bagi menempatkan mangsa banjir berikutan paras air masih dalam keadaan terkawal dan selamat.
utusanborneo.com.my/2022/02/07 |