CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 296|Reply: 0

[Sarawak] RM76 juta diluluskan, bina jalan hubungkan Simalatong ke pekan Gedong

[Copy link]
Post time 26-1-2022 08:57 PM | Show all posts |Read mode


Abang Johari ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi N.26 Gedong di sebuah hotel di Kuching.- Gambar UKAS

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Tan Sri Abang Johari berkata kerajaan negeri telah meluluskan kira-kira RM76 juta bagi membina jalan raya menghubungkan Simalatong yang terletak di Hulu Gedong dengan pekan Gedong.

Beliau berkata pembinaan jalan raya berkenaan antara usaha kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) membangunkan kawasan barat Sarawak yang meliputi Gedong, Simunjan, Asajaya, Sadong Jaya, Samarahan, Sebuyau dan Lingga.

Menurutnya pembinaan jalan raya berkenaan juga bagi membuka aktiviti-aktiviti pertanian baharu di situ serta kawasan sekitarnya.

"Lebih kurang RM76 juta telah diluluskan untuk kita membangunkan Jalan Simalatong di Hulu Gedong, terus ke Gedong. Maknanya dekatlah untuk penduduk dari Hulu Gedong pergi ke Gedong.

"Ini adalah sebahagian daripada pelan pembangunan Gedong yang akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Apresiasi N.26 Gedong di sebuah hotel di sini pada malam Selasa.

Abang Johari berkata satu makmal telah ditubuhkan bagi membincang serta melihat hala tuju pembangunan Gedong, Simunjan termasuk Asajaya, Sadong Jaya, Samarahan hingga ke Sebuyau dan seterusnya Lingga.

"Bagaimana kita hendak membangunkan kawasan, yang saya panggil kawasan Barat Sarawak. Tadi saya telah mendengar taklimat daripada Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki mengenai pelan pembangunan Gedong.

"Saya rasa perancangan ini akan dapat kita laksanakan dalam masa lima tahun. Ia agak besar juga, belanja pun besar tetapi saya yakin ia akan memberi limpahan pembangunan kepada kawasan barat Sarawak ini," ujarnya.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong juga memberitahu Gedong dan Simunjan akan menjadi satu tempat strategik di laluan baharu yang dibina sehingga ke Sebuyau.

Menurutnya kerajaan negeri merancang membina jalan raya yang agak besar di Asajaya dengan pusat pentadbiran yang baharu dibangunkan selepas Jambatan Samarahan.

"Jalan itu akan menjadi jalan yang boleh tahan...nanti anda sendiri akan melihatnya, agak awal untuk saya mengatakannya cuma saya beri bayangan ia akan bermula dari Serian, kemudian ke Gedong, masuk Simunjan seterusnya ke Asajaya, sebahagian daripada Sadong Jaya, keluar ke Sebuyau dan belok ke Lingga.

"Lingga juga perlu dibangunkan khasnya kawasan penanaman padi di Banting yang sudahpun dikenal pasti. Kita juga akan meningkatkan infrastruktur di Lubok Punggur, juga kawasan penanaman padi berpotensi di negeri ini," jelasnya.

Mengenai majlis itu, Abang Johari berkata ia bagi mengatakan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak terutamanya pemimpin, jentera parti serta penduduk Gedong amnya yang telah bekerja keras memastikan kemenangan beliau di DUN itu pada Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN12) yang lalu.

Beliau juga berterima kasih kepada mantan ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais kerana memberi peluang dan kepercayaan menjadi wakil rakyat di situ seterusnya membangunkan kawasan luar bandar.

"Saya bertanding di Gedong mendapat sokongan dari penduduk Gedong diketuai Datuk Naroden dan mendapat kemenangan besar. Bukan itu sahaja kemenangan di Gedong, GPS menang 76 daripada 82 kerusi dipertandingkan.

"Mungkin ini satu cabaran, kemenangan besar ini kita gunakan untuk mengurus negeri ini. Bagi saya ini satu amanah juga cabaran, pertama dapatkah rekod kita ini dipertahankan.

"Saya yakin kita dapat mempertahankannya tapi kita perlu bekerja keras dari sekarang," katanya.

Hadir sama Isteri Ketua Menteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Batang Sadong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Dato Sri Nancy Syukri, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Aidel Lariwoo dan mantan ADUN Gedong Datuk Mohd Naroden Majais.


utusanborneo.com.my/2022/01/26
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 03:51 PM GMT+8 , Processed in 0.089032 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list