CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 295|Reply: 0

[Sabah] Pengurusan kesihatan awam perlu gerak seiring dengan pemulihan ekonomi

[Copy link]
Post time 25-1-2022 12:59 PM | Show all posts |Read mode


KOTA KINABALU: Agenda pengurusan kesihatan awam akibat COVID-19 perlu bergerak seiring dengan proses pemulihan ekonomi.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata, sejak dari awal, agenda melonjakkan ekonomi negeri merupakan antara teras Aku Janji Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

"Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah pada tahun 2017 mencatat kadar 8.2 peratus dan telah menurun kepada kadar 0.5 peratus pada tahun 2019.

"Komitmen kita adalah bukan sahaja untuk mengembalikan landasan pertumbuhan ekonomi negeri, malah kita bertekad untuk melonjakkan kedudukan ekonomi dan kemajuan negeri," katanya ketika menyampaikan amanatnya sempena Perhimpunan Penjawat Awam Negeri Sabah 2022 di sini, hari ini.

Beliau berkata, Hala Tuju ini sedang berjalan dengan pelaksanaan fasa pertama melalui Pelan SMJ 1.0 dengan pelbagai inisiatif yang dirangka selaras dengan fungsi teras setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri.

Katanya, pelaksanaan pelan berkenaan akan dipantau secara dekat oleh Sekretariat SMJ. Status pelaksanaan dan pencapaian setiap kementerian akan dibentangkan pada setiap tahun melalui Laporan Status Pelaksanaan dan Pencapaian Tahunan bermula dengan tahun pertama pada 29 Mac 2022, iaitu dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

"Saya telah mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri, bahawa pada tarikh itu, bukan sahaja laporan pelaksanaan perlu dibentangkan oleh setiap kementerian, tetapi kita perlu menganjurkan hari terbuka untuk membolehkan rakyat mendengar, melihat dan merasai nilai dan makna di sebalik Hala Tuju SMJ.

"Saya berharap semua agensi kerajaan telah bersedia untuk melaporkan Status Pelaksanaan dan Pencapaian inisiatif-inisiatif dibawah tanggungjawab masing-masing.

"Saya juga mahu agensi kerajaan persekutuan di Sabah turut serta dengan mempersembahkan perancangan, status pelaksanaan projek, program masing-masing untuk pemahaman dan tatapan rakyat.

"Saya berharap Setiausaha Persekutuan Sabah dapat menyelaraskan penyertaan agensi-agensi persekutuan dalam hari terbuka itu kelak," katanya.

Hajiji menegaskan bahawa perkara berkenaan penting kerana beliau berpegang kepada prinsip bahawasanya kejayaan hakiki sesebuah Agenda Pembangunan Kerajaan adalah apabila nilai dan makna pembangunan itu bukan sahaja boleh didengar tetapi perlu dilihat dan dirasai oleh rakyat.

Hajiji juga yakin kerajaan negeri ini berada di landasan yang tepat. Beberapa petunjuk ekonomi menzahirkan perkembangan yang positif.

Katanya, terdapat beberapa indikator awal yang memperlihatkan keberkesanan pelan pembangunan yang sedang dibangunkan bersama.

"Pertama, kita berupaya membendung kadar penurunan drastik pertumbuhan ekonomi negeri pada tahun 2020 akibat pandemik COVID-19. Sungguh pun pertumbuhan ekonomi merundum sebanyak 9.5 peratus, namun jumlah ini dapat dikawal berbanding anggaran awal penurunan pada kadar 15 sehingga 19 peratus.

"Kedua, dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan, kadar pertumbuhan negatif pelbagai sektor pada tahun 2020 telah menunjukkan perubahan signifikan dengan pertumbuhan positif pada tahun 2021.

"Dianggarkan pertumbuhan ekonomi negeri pada 2021 akan terus menunjukkan trend pemulihan dan akan tumbuh, meskipun secara perlahan, tetapi pada kadar positif di antara 3.8 hingga 4 peratus.

"Ketiga, dalam berhadapan dengan pelbagai cabaran, kita berupaya untuk melakar kejayaan yang amat signifikan dalam konteks kutipan hasil negeri," katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan negeri memberi fokus, keutamaan kepada usaha merintis inisiatif baharu serta menarik pelaburan dari dalam dan luar negara.

Katanya, kerajaan negeri sedang merintis inisiatif untuk melonjakkan hasil melalui khazanah bumi Sabah seperti mineral dan karbon melalui pemuliharaan hutan.

"Komitmen kita adalah untuk memastikan khazanah bumi Sabah kekal terpelihara, diuruskan secara telus dan mapan, membawa pulangan hasil melalui rantaian nilai serta ekonomi yang lebih tinggi.

"Pada masa yang sama, persekitaran yang kondusif seperti pemerkasaan kerjasama serantau melalui platform Kawasan Pertumbuhan Timur ASEAN (BIMP-EAGA) dan kewujudan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) diyakini akan memberi manfaat besar untuk Sabah.

"Kita harus lebih proaktif, merintis usaha dari sekarang dan bergerak dengan lebih agresif sebaik sahaja aktiviti ekonomi merentasi sempadan dibuka semula pasca pandemik," katanya.


utusanborneo.com.my/2022/01/25
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

25-4-2024 10:00 PM GMT+8 , Processed in 0.143548 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list