CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 404|Reply: 1

[Tempatan] Ahmad Zahid tidak layak terima imuniti pendakwaan mahkamah, kata Hakim

  [Copy link]
Post time 24-1-2022 02:53 PM | Show all posts |Read mode
Ahmad Zahid tidak layak terima imuniti pendakwaan mahkamah – Hakim

https://www.utusan.com.my/terkin ... aan-mahkamah-hakim/

Oleh NORLIZAH ABAS
24 Januari 2022, 2:50 pm


AHMAD ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini memutuskan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak layak menerima imuniti pendakwaan mahkamah berhubung pendedahan maklumat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan transaksi melibatkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah berkata, selepas meneliti dan mempertimbang penghujahan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan, beliau berpuas hati Presiden UMNO itu tidak berhak mendapat imuniti daripada dikenakan pendakwaan di mahkamah.

Isu mengenai kekebalan itu dibangkitkan oleh pihak pembelaan ketika sesi penghujahan pada 6 September 2021 bahawa Ahmad Zahid berhak menuntut perlindungan daripada pendakwaan mengikut Seksyen 30(7) Akta SPRM ekoran dua pernyataan yang diberikan pada 2018.

Bagaimanapun, pihak pendakwaan menjelaskan, seksyen berkenaan tidak menyediakan imuniti sebaliknya merupakan pengecualian atas budi bicara kepada individu yang membantu proses siasatan.

Demikian antara keputusan yang digariskan oleh Hakim Collin ketika memerintahkan bekas Timbalan Perdana Menteri membela diri terhadap kesemua 47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana berjuta-juta ringgit milik Yayasan Akalbudi yang diasaskan oleh beliau.

Mahkamah menetapkan keterangan bela diri Presiden UMNO itu didengar selama 39 hari bermula 26 April ini. Seramai kira-kira 20 orang saksi pembelaan dijangka memberi keterangan.
Prosiding ditetapkan pada 26 hingga 28 April; 23 hingga 26 Mei; 27 hingga 30 Jun; 4 hingga 7 Julai; 22, 23, 29 dan 30 Ogos; 19 hingga 22, 26 hingga 29 September, 17 hingga 20, 31 Oktober dan 1 hingga 3, 7 hingga 10 November ini.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang tiba di pekarangan mahkamah pukul 9.04 pagi, memilih memberi keterangan secara bersumpah dari kandang saksi.

Ketika mengumumkan keputusan pada akhir kes pendakwaan, Hakim Collin berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Timbalan Perdana Menteri.

Kata beliau, selepas membuat penilaian maksimum terhadap bukti keterangan yang dikemukakan, mahkamah memutuskan Ahmad Zahid membela diri setelah berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan intipati dalam semua pertuduhan yang dikemukakan.

Ahmad Zahid, 69, dibicarakan terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram, melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi yang mana beliau juga merupakan pemegang amanahnya.

Pada prosiding itu, peguam Hisyam Teh Poh Teik memaklumkan, pihak pembelaan menerima semua 37 saksi yang ditawarkan oleh pendakwaan dan bercadang untuk mengemukakan keterangan hampir 20 saksi pada perbicaraan kelak.

Jelasnya, pembelaan memohon tarikh perbicaraan pada bulan Mac yang telah ditetapkan sebelum ini dianjak ke April kerana pihaknya kesuntukan masa untuk merakam pernyataan saksi-saksi.

Menurut Hisyam, selain proses pengumpulan dokumen, pihaknya memerlukan masa untuk menyediakan pernyataan saksi-saksi sebelum menyerahkannya kepada pihak pendakwaan dalam tempoh 14 hari sebelum perbicaraan.

Dengan penetapan tarikh perbicaraan, prosiding pembelaan dijangka berlarutan hingga hujung tahun ini. Perbicaraan bermula 18 November 2019 dengan mendengar keterangan 99 saksi pendakwaan.

Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Raja Rozela Raja Toran mengetuai pasukan pendakwaan.

Rentetan perjalanan kes terhadap Ahmad Zahid bermula apabila beliau hadir di Ibu Pejabat SPRM pada 3 Julai 2018 bagi membantu siasatan kes penyelewengan dana Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu kemudian dipanggil memberi keterangan sebanyak tiga kali berturut-turut masing-masing pada 10, 11, dan 12 Oktober sebelum ditahan pada 18 Oktober 2018 dan seterusnya didakwa keesokan harinya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini sebanyak tiga kali masing-masing pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta 20 Februari 2019 sebelum kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk dibicarakan.

Tertuduh didakwa menggunakan dana itu untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Bagi 12 pertuduhan pecah amanah yang didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016, Ahmad Zahid dituduh mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.



Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 24-1-2022 08:17 PM From the mobile phone | Show all posts
Nanti ada la macai2 yg backup wak jahit dianiaya musuh dia, wak jahit tu maksum
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 10:57 AM GMT+8 , Processed in 0.050271 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list