CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 325|Reply: 0

[Sabah] Kerajaan Negeri Menggalakkan Semua Kaum, Termasuk Tionghua Pertahankan Kebudayaan

[Copy link]
Post time 22-1-2022 10:57 PM | Show all posts |Read mode
KOTA KINABALU: Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan terus memberikan sokongan kepada semua kaum di Sabah termasuk masyarakat Tionghua untuk menganjurkan aktiviti kebudayaan masing-masing.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ini kerana kerajaan negeri sentiasa mengamalkan sikap toleransi dan menggalakkan setiap kumpulan etnik di Sabah mempertahankan kebudayaan masing-masing.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor diiringi Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS), Tan Sri TC Goh ketika hadir pada Majlis Pembukaan Rasmi Karnival Tahun Baharu Cina 2022 di Lintasan Deasoka di sini, hari ini.


Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor (tengah) menyerahkan replika cek RM200,000 daripada kerajaan negeri kepada Gabungan Persatuan Cina Sabah (FCAS) yang diwakili Presidennya, TC Goh pada Majlis Pembukaan Rasmi Karnival Tahun Baharu Cina 2022 di Lintasan Deasoka di sini, hari ini.

“Sejak dua tahun lalu, pandemik COVID-19 telah memaksa banyak program dan acara seperti karnival ini dibatalkan. Karnival Tahun Baharu Cina amat bermakna kepada masyarakat Tionghua.

“Kita bersyukur kerana pada tahun ini dapat melaksanakan penganjuran karnival dalam suasana aman, damai dan penuh muhibbah, walaupun secara sederhana.

Justeru, menjelang sambutan Tahun Baharu Cina yang tidak lama lagi, saya merakamkan terima kasih kepada masyarakat Tionghua kerana terus memberi kerjasama dan sokongan kepada saya serta kerajaan negeri.

“Saya juga berharap agar masyarakat Tionghua di Sabah terus menyokong dan membantu kami dalam membangunkan negeri ini,” katanya ketika merasmikan Karnival Tahun Baharu Cina di Dataran Deasoka, di sini pada Sabtu.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pertanian dan Perikanan Datuk Seri Dr Jeffrey G.Kitingan; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr. Safar Untong dan Presiden Gabungan Persatuan Cina Sabah, Tan Sri T C Goh.

Hajiji berkata, bukan hanya dalam aspek kebudayaan, malah kerajaan juga akan memastikan pembangunan yang saksama untuk semua komuniti di Sabah.

“Pada tahun ini saja, kerajaan telah menyalurkan sejumlah RM48 juta untuk sekolah vernakular dan mubaligh serta badan keagamaan bukan Islam di negeri ini, dan ia adalah peruntukan terbesar yang pernah diluluskan,” katanya.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata kerajaan GRS juga komited untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri dalam pelbagai aspek pembangunan di negeri ini, yang terjejas berikutan penularan pandemik COVID-19.

“Awal tahun 2022 adalah permulaan tahun baharu yang baik kepada ekonomi Sabah. Tiga acara penting pada minggu ini adalah permulaan yang positif ke arah itu (pertumbuhan ekonomi) iaitu The Sabah International Business and Economic Summit (SIBES), pemeteraian tiga memorandum persefahaman antara kerajaan Sabah dengan pelabur bagi pelaksanaan tiga projek bernilai kira-kira RM4.3 bilion dan pembangunan industri hartanah menerusi projek Jesselton Quay Central.

“Dalam pertemuan saya dengan Duta Besar dan Pesuruhjaya Tinggi yang hadir pada sidang kemuncak itu, semua mereka telah berjanji untuk mempromosikan potensi pelaburan di Sabah,” katanya sambil menambah sebagai ketua menteri beliau bertekad untuk terus bekerja memulihkan semula ekonomi negeri yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Beliau yakin dengan sokongan semua rakyat, usaha yang diambil kerajaan akan membantu melonjakkan semula ekonomi negeri dan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Kerajaan juga akan memastikan komponen utama agenda transformasi yang digariskan kerajaan negeri menerusi pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) dalam tempoh lima tahun dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya sambil berharap tahun baharu ini akan membawa lebih banyak keharmonian, kemajuan ekonomi dan kemakmuran kepada rakyat serta negeri ini.

Sempena karnival itu, Ketua Menteri turut menyerahkan replika cek sebanyak RM200,000 daripada kerajaan negeri kepada FCAS yang diwakili Presidennya, TC Goh, untuk pelaksanaan aktiviti gabungan berkenaan.


sabahmedia.com/2022/01/22
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

17-4-2024 07:25 AM GMT+8 , Processed in 0.096698 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list