|
Ziarah kubur arwah suami setiap minggu
Datuk Nora Ariffin
Kuala Lumpur: Selepas lebih empat tahun pemergian Johan Nawawi, penyanyi popular Datuk Nora Ariffin tetap meneruskan rutin menziarahi pusara Allahyarham suaminya itu setiap minggu.
Nora yang sudah berkahwin dengan Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya, Dr Rushdi Ramli, 55, tahun lalu turut melakukan rutin sama menziarahi kubur anaknya, Muhammad Syakir Alif Johan dan ibu mentua.
Nora berkata, tanah perkuburan mengingatkan dirinya mengenai kematian yang tidak mengira waktu dan usia.
"Ziarah kubur arwah Johan, anak dan ibu mentua masih jadi rutin kerana setiap kali melihat kubur, ia mengingatkan saya mengenai mati. Ia menyedarkan diri supaya kena selalu bersedia. Bila-bila waktu Allah boleh ambil nyawa tak kira usia dan sesiapa. Di sini pengakhiran kita," katanya.
Nora turut mengingatkan orang ramai supaya tidak bersikap sombong kerana dunia yang sedang dinikmati ini adalah satu ujian sebelum ke negeri abadi.
"Dunia tempat ujian sebelum ke tempat yang abadi. Kita hanya hamba Allah... jangan sombong. Masuk kubur seorang diri saja, tiada teman pun," katanya.
Nora berkahwin dengan Allahyarham Johan pada 1992 dan dikurniakan empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan.
Johan meninggal dunia pada 24 Mac 2017 pada usia 52 tahun akibat serangan jantung dan pada 13 Disember 2019 pula, Nora diduga dengan kematian anak keduanya, Muhammad Syakir Aliff yang ketika itu berusia 20 tahun.
Sumber:https://www.hmetro.com.my/rap/20 ... suami-setiap-minggu
|
|