CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 71|Reply: 0

[Sarawak] Dua sekawan dijel kerana 5.99 gram Methamphetamine

[Copy link]
Post time 20-1-2022 08:44 PM | Show all posts |Read mode


KUCHING: Seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret, hari ini selepas mengaku bersalah memiliki 5.99 gram dadah jenis Methamphetamine.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali juga memerintahkan tertuduh lelaki, Chong Hen Sen, 35, untuk dikenakan tiga sebatan dan mengarahkan hukuman penjara bagi tertuduh untuk dikuatkuasakan mulai tarikh dia direman iaitu pada 24 November 2020.

Sementara itu tiada sebatan dikenakan terhadap tertuduh wanita, Catherine Ngan Yoke Lee, 37, selari dengan Seksyen 289 (a) Kanun Acara Jenayah dan mahkamah juga memerintahkan hukuman penjara bagi tertuduh dikuatkuasakan mulai hari ini.

Berdasarkan pertuduhan, dua sekawan tersebut didakwa melakukan perbuatan terbabit pada 3 Julai 2017, jam lebih kurang 1.15 petang di sebuah hotel di Muara Tebas, di sini.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 39A(1) Akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum lima tahun, dan boleh disebat tidak kurang daripada tiga sebatan dan tidak melebihi tiga sebatan, jika sabit kesalahan.

Hasil pemeriksaan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuching mendapati terdapat dua paket plastik lutsinar mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar 12.58 gram di dalam beg sandang yang diletakkan di atas meja bilik tersebut.

Selain itu, pihak polis turut menemui satu peket plastik berisi lima biji pil Eramin 5 (berat kasar 1.39 gram) diletakkan di dalam beg sama pada hari kejadian.

Sehubungan itu, kedua-dua tertuduh seterusnya berhadapan satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) ADB 1952 dan dihukum mengikut Seksyen 12(3) Akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana memiliki 0.04 gram Nimetazepam.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan berkenaan dan bagi kesalahan itu, Majistret Syarifah menetapkan dua sekawan yang tidak diwakili peguam itu untuk dijatuhi hukuman penjara enam bulan berkuatkuasa hari ini.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad.


utusanborneo.com.my/2022/01/19
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

21-5-2022 02:32 AM GMT+8 , Processed in 1.462112 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list