CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 262|Reply: 0

[Sabah] RM35 juta untuk laksana program baharu BAGUS, BISBAH & AKSA

[Copy link]
Post time 19-1-2022 02:24 PM | Show all posts |Read mode


BANTUAN: Masidi (tengah) bersama Mohd Arifin (dua kiri) dan Zulkapli (dua kanan) menyampaikan replika cek bantuan BAKTI kepada wakil penerima pada majlis itu.

KOTA KINABALU: Sejumlah RM35 juta akan dibelanjakan kerajaan negeri bagi melaksanakan inisiatif pembangunan pendidikan merangkumi tiga program baharu.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, pelaksanaan Program Bantuan Aktiviti PIBG Sabah (BAGUS), Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) dan Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA) 2022 selaras dengan komitmen kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memartabatkan taraf pendidikan Sabah.

Katanya, selepas mengambil alih tampuk pemerintahan, kerajaan GRS meletakkan portfolio pendidikan di bawah bidang kuasa Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas supaya perhatian khusus dapat diberikan kepada hal ehwal pendidikan Sabah.

Menurutnya, usaha itu tidak bermakna kerajaan negeri mengambil alih peranan dan tanggungjawab Persekutuan dalam bidang pendidikan di Sabah. Sebaliknya inisiatif itu adalah untuk melengkapkan program yang dilaksanakan kerajaan Persekutuan di negeri ini.

Beliau berkata demikian sempena majlis Penyampaian Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Pelancaran BAGUS, BISBAH dan AKSA 2022 di Menara Kinabalu di sini hari ini. Teks ucapan beliau disampaikan oleh Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II Datuk Seri Panglima Masidi Manjun.

Hajiji berkata, kerajaan negeri serius dalam memastikan kanak-kanak di Sabah mendapat bantuan sebaik mungkin dan mencapai kecemerlangan akademik.

"Ini selaras dengan teras kedua pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang diperkenalkan kerajaan GRS dalam memperkasakan modal insan Sabah.

"Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk program BAGUS yang menyaksikan setiap Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) membabitkan 1,500 sekolah menerima RM2,000 untuk menjalankan aktiviti tahun ini.

"Sementara itu, di bawah inisiatif BISBAH, sejumlah RM12 juta diperuntukkan untuk membantu 1,500 sekolah di seluruh negeri memperoleh komputer, mesin pencetak, peralatan bantuan mengajar, meja, dan kerusi," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan memberi pengiktirafan khas kepada pelajar Sabah yang cemerlang dalam akademik yang akan dikenali sebagai AKSA.

Selain itu jelasnya, bantuan lain pada 2021 juga akan terus diberikan. Tahun lepas, kerajaan negeri meluluskan RM15 juta untuk pembelian komputer riba di bawah program Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) bagi membantu seramai 10,000 pelajar yang memerlukan khususnya yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menurutnya, kerajaan negeri turut membelanjakan sejumlah RM10 juta tahun lepas untuk membantu 5,000 pelajar membayar yuran pendaftaran di bawah Bantuan Wang Pendaftaran Institut Pengajian Tinggi (IPT) yang dikenali sebagai BUDI.

Katanya, ia membabitkan pelajar yang mengikuti pengajian diploma mendapat RM1,500 dan RM2,000 bagi mereka yang mengikuti kursus ijazah.

Hajiji berkata, seramai 40,277 pelajar Sabah yang mendaftar untuk menduduki SPM, STAM dan STPM tahun lepas menerima RM200 di
bawah BAKTI yang menelan belanja sebanyak RM8.1 juta.

"Memandangkan peperiksaan SPM, STAM dan STPM 2021 ditangguhkan ke Mac tahun ini, bantuan BAKTI 2021 diserahkan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Sabah (JHEAINS) untuk diagihkan kepada penerima.

"Selaras dengan komitmen membangunkan modal insan melalui pendidikan, dalam Bajet Negeri 2022, peruntukan sebanyak RM55 juta diperuntukkan sebagai biasiswa untuk pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

"Keutamaan akan diberikan kepada pelajar yang mengikuti kursus sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) bagi memenuhi permintaan pasaran masa depan.

"Kerajaan negeri akan memastikan semua anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan, justeru RM13.9 juta diperuntukkan untuk membantu seramai 289,204 pelajar membeli pakaian sekolah, kasut dan alat tulis di bawah Program Bantuan Sosial Sekolah," jelasnya.

Turut hadir, Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd. Arifin Mohd. Arif; Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Dr. Zulkapli Mohamed dan Peguam Besar Negeri Datuk Nor Asiah Mohd. Yusof.


utusanborneo.com.my/2022/01/19
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 04:35 AM GMT+8 , Processed in 0.307069 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list