Penduduk rumah panjang Uma Akeh gembira memberikan tanda bagus dengan kemudahan jalur lebar melalui satelit dibawah inisiatif JENDELA.
LONG LAMA: Kira-kira 800 penduduk di Uma Akeh kini menikmati kemudahan jalur lebar satelit secara percuma yang disediakan kerajaan persekutuan melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pengerusi Kelab Belia Uma Akeh (KEBUMA) Spanski Steven berkata, penduduk kaum Kenyah di situ amat gembira dan berterima kasih dengan usaha kerajaan menyediakan internet yang pantas.
“Liputan internet di rumah panjang kami sebelum ini amat teruk sehingga penduduk terpaksa pergi ke tepi sungai untuk mencari capaian internet. Dengan adanya internet yang mempunyai kelajuan dan capaian yang baik, penduduk kini dapat menikmati internet di rumah panjang,” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo pada Selasa.
Uma Akeh terletak kira-kira 2 setengah jam perjalanan dari Miri.
Katanya, projek JENDELA yang siap pada Isnin itu akan dinikmati secara percuma selama dua tahun sehingga Jan 2024.
Ia dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi meningkatkan capaian internet penduduk di pedalaman.
“Kami sangat berterima kasih dengan kemudahan ini. Saya berharap penduduk kampung terutama generasi muda memanfaatkan kemudahan jalur lebar ini dengan sebaik mungkin untuk menambah ilmu pengetahuan,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/19 |