Anthony (tiga kanan) merakamkan kenangan bersama enam penerima lain yang membantu memadamkam api di Rumah Panjang Dennis Nyalamba di Saratok, baru-baru ini.
KUCHING: “Jangan selamatkan harta dahulu, tetapi beri keutamaan untuk memadamkan api sebelum ia menjadi besar”.
Demikian kata Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Panjang Dennis Nyalamba, Anthony Gasah Ipun ketika menceritakan detik cemas semasa menyelamatkan rumah panjang di Saratok itu daripada musnah terbakar dalam kejadian 11 Januari lalu.
Anthony merupakan antara tujuh penghuni Rumah Panjang Dennis Nyalamba yang dianugerahkan sijil penghargaan Hero Bomba daripada Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Datu Khirudin Drahman pada Selasa.
Enam lagi individu yang juga membantu memadamkam api di rumah panjang itu ialah Asson Juan, Anyai Jingan, Spencer Nanang Anji, Evanda Dana Manan, Evanhoe Melaka Manan dan Sylvester Undi Asson.
Menurut Anthony, keutamaan memadamkan api menjadi penyebab utama Rumah Panjang Dennis Nyalamba berjaya diselamatkan daripada musnah.
“Ketika itu, saya berada di luar rumah panjang dan terdengar jeritan meminta tolong. Apabila saya menoleh, saya melihat asap putih tebal keluar dari salah satu pintu.
“Saya cepat-cepat mengarahkan salah seorang daripada kami untuk mendapatkan alat pemadam api sebelum ia menjadi marak dan meminta mereka melupakan hasrat menyelamat harta benda,” katanya.
Anthony berkata, tindakan itu membuatkan mereka berjaya memadamkam api dalam masa 10 minit.
“Sekiranya kami tidak bertindak pantas, besar kemungkinan seorang budak lelaki berusia empat tahun yang masih terperangkap akan kehilangan nyawa.
“Syukur, kanak-kanak itu tidak cedera kerana dia berada di bawah tilam dan kami menyedari keberadaannya selepas api berjaya dipadamkan,” katanya
Beliau menambah pengetahuan berhubung cara-cara menggunakan alat pemadam api yang diajar anggota dari Balai Bomba Saratok turut membantu menyelamatkan nyawa rumah panjang mereka.
Khirudin dalam ucapannya berkata pihaknya akan meneruskan program penglibatan dan pendidikan masyarakat bagi melatih mereka menggunakan alat pemadam api dengan betul serta menekankan kepentingan pencegahan kebakaran.
“Kita akan terus memberitahu masyarakat bahawa kita mahu bertemu mereka sebelum kebakaran berlaku dan bukannya selepas. Kita mesti sentiasa mengamalkan 3P iaitu Pengawasan, Pencegahan dan Perlindungan, dan jangan lupa tentang 3L iaitu Lupa, Leka dan Lalai,” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/19 |