16 kes COVID-19, tiada kematian dilaporkan di Sarawak hari ini
KUCHING: Sarawak merekodkan kes harian COVID-19 dua angka dengan 16 kes dilaporkan hari ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata dengan penambahan 16 kes baharu hari ini, ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Sarawak setakat ini 252,625.
JPBNS menerusi kenyataan memaklumkan 10 daripada kes baharu direkodkan terdiri daripada kategori satu (tiada gejala) manakala selebihnya adalah kategori dua (gejala ringan).
Sibu melaporkan jumlah kes harian terbanyak iaitu enam kes, diikuti Kuching (3) dan Lawas (2), manakala Miri, Sri Aman, Samarahan, Bau dan Tanjung Manis masing-masing merekodkan satu kes.
JPBNS hari ini juga mengatakan yang tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Sarawak, begitu juga kluster baharu COVID-19.
Mengenai laporan notis kompaun, JPBNS berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengeluarkan 12 notis kompaun kerana kegagalan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), menjadikan jumlah keseluruhan kompaun dikeluarkan PDRM setakat ini sebanyak 12,954.
“Antara kesalahan yang dilakukan adalah gagal mengimbas QR Code MySejahtera atau mencatat kehadiran sebelum memasuki premis (8), tidak memakai pelitup muka (3) dan tidak menjaga penjarakan fizikal (1),” katanya.
utusanborneo.com.my/2022/01/18 |