CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 247|Reply: 0

[Sarawak] Gelombang ketiga DAP di Sarawak bakal berlaku

[Copy link]
Post time 17-1-2022 03:58 PM | Show all posts |Read mode
Edited by Vellfire at 17-1-2022 08:00 AM



KUCHING: Anggota Jawatankuasa Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak baharu akan menggalas tanggungjawab penting dalam melancarkan gelombang ketiga DAP di negeri ini untuk Sarawak dan Malaysia yang lebih baik.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang berkata gelombang pertama DAP di Sarawak bermula di bawah pengasasnya Chong Chiew Chiang selama 18 tahun (1978 hingga 1996) dan akhirnya melakar sejarah sendiri apabila mempunyai tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) iaitu Wong Ho Leng (Bukit Asek), Wong Sing Nang (Pelawan) dan Wong Sing Ai (Kidurong).

Perjuangan DAP Sarawak untuk mempunyai wakil di Parlimen katanya kurang menyerlah apabila hanya dua calonnya menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) 1982 menerusi Sim Kuang Yang (Kuching) dan Ling Sie Ming (Sibu).

Manakala gelombang kedua DAP Sarawak bermula dari 1996 hingga 2021 iaitu selama 25 tahun, menyaksikan DAP memenangi 12 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-10 (PRN10) pada 2011 di bawah kepimpinan Wong Ho Leng, tambahnya.

Bagaimanapun rekod cemerlang DAP Sarawak itu berakhir apabila merekodkan pencapaian teruk pada PRN12 pada 18 Disember 2021, dengan hanya dua calonnya dipilih - Chong Chieng Jen (Padungan) dan Violet Yong (Pending).

"Gelombang pertama DAP Sarawak bermula dari kosong, gelombang kedua bermula dari tiga dan ketiga bermula dari dua. Apakah pencapaian tertinggi mampu dilakar dalam gelombang ketiga DAP Sarawak - sama ada ia boleh membentuk kerajaan negeri Sarawak atau sebahagian daripadanya?

"Inilah cabaran gelombang ketiga DAP di Sarawak di bawah kepimpinan Chong Chieng Jen," katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Ahad, Jawatankuasa DAP Negeri Sarawak bagi penggal 2021-2023 dipilih sempena Konvensyen DAP Sarawak 2022 di sini, dan Chong dipilih semula mempengerusikan parti itu, jawatan dipegangnya sejak 2013.

Lim yang merupakan Ahli Parlimen Iskandar Putri itu berkata beliau kecewa dengan keputusan pilihan raya negeri Sarawak bulan lalu, selain Padungan dan Pending kerana menjangka DAP menang di Kota Sentosa, Bukit Assek, Pelawan, Tanjong Batu dan Pujut.

"Saya memahami kekecewaan rakyat kerana tidak banyak telah dilakukan Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan (PH) dalam 22 bulan berkuasa sebelum digulingkan secara tidak demokratik.

"Bagaimanapun saya tidak bersetuju dengan pihak mencadangkan DAP harus keluar dari kerajaan PH tanpa cuba melaksanakan tugasnya...Kita mesti terus tabah dalam perjuangan untuk Malaysia dan Sarawak yang lebih baik, bukan untuk kepentingan kita sendiri tetapi anak cucu kita.

"Kita telah mencapai kejayaan yang hebat meskipun kita berdepan halangan yang hebat," ujarnya.

Lim berkata PRN12 pada Disember 2021, merupakan permulaan kepada pertarungan penting untuk Malaysia dan Sarawak menjadi entiti berkelas dunia.

"Saya tidak akan ada lagi untuk melihat keputusan 'Peperangan Malaysia II' (Battle of Malaysia II) pada 2063 tetapi saya meminta belia Sarawak bangkit dan membantu membimbing belia Malaysia memastikan negara boleh menjadi negara hebat berkelas dunia, bagi memastikan Sarawak mendapat permulaan baharu kerana Malaysia sudah mendapat hari baharu!," katanya.


utusanborneo.com.my/2022/01/17
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 09:49 AM GMT+8 , Processed in 0.229008 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list