CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 65|Reply: 0

[Sabah] Kempen Kesedaran Kanser Payudara Kinabalu Pink Ribbon Bermula di Tuaran

[Copy link]
Post time 15-1-2022 05:43 PM | Show all posts |Read mode


TUARAN: Kempen Kesedaran Kanser Payudara yang akan dilaksanakan di 10 daerah di Sabah, memilih daerah ini sebagai lokasi pertama, hari ini (Sabtu).

Program sehari itu turut dihadiri isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Juliah Salag, sebagai tetamu kehormat sempena kempen berkenaan.

Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran kepada wanita khususnya mengenai kepentingan pendidikan kesihatan payudara dengan membuat pengesanan awal dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk di kawasan Tuaran.

Program ini kerjasama antara Persatuan Kesedaran Kanser Payudara Kinabalu (Kinabalu Pink Ribbon) bersama Sabah Breast Cancer Society-Pink Ribbon Centre, Jabatan Pembedahan Kanser Payudara dan Endokrine, Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu; Pertubuhan Ibu Tunggal Kebangsaan Malaysia, Tuaran; Persatuan Kadazandusun Murut, Tuaran; dan Lembaga Penduduk dan Perancang Keluarga Negara (LPPKN) Sabah.

Turut hadir ialah Pengerusi Kinabalu Pink Ribbon, Laura Bazan dan Ketua Pakar Pembedahan dan Perunding, Jabatan Pembedahan Payudara dan Endokrine, Hospital Queen Elizabeth 2, Kota Kinabalu, Dr Siti Zubaidah Sharif serta Ketua Srikandi BERSATU Bahagian Tuaran, Datin Jamaliah Antalip.

Terdahulu, Laura berkata Kinabalu Pink Ribbon merakamkan terima kasih kepada isteri Ketua Menteri yang sentiasa memberi sokongan untuk menjayakan kempen ini.

Katanya, kempen ini dirancang diadakan di 10 daerah dengan Tuaran menjadi lokasi pertama program berkenaan.

“Kempen ini akan diteruskan ke daerah lain iaitu Sipitang, Pitas, Kota Belud, Ranau, Keningau, Papar, Kudat, Beaufort dan Kota Kinabalu, secara berperingkat.

“Menerusi projek luar jangkauan (outreach) yang pertama bagi tahun 2022, kita akan mendekati golongan wanita bagi memberi pendidikan dan pemeriksaan payudara selain ceramah kesihatan.

“Dalam kempen ini kita menggunakan mesin iaitu Advanced Portable Ultrasound untuk mengesan sebarang ketulan yang mencurigakan. Pengesanan awal ini membolehkan sasaran biopsi dapat dilakukan dengan segera,” katanya sempena Program Kempen Kesedaran Kanser Payudara di Dewan Datuk Patrick Jilan, Kampung Selupoh, di sini pada Sabtu.

Laura berkata dengan kerjasama daripada komuniti setempat, Kinabalu Pink Ribbon berharap kempen ini dapat meningkatkan kesedaran khususnya mengenai kepentingan pengesanan awal kanser payudara.

Sempena Kempen Kesedaran Kanser Payudara yang dihadiri kira-kira 150 komuniti daerah itu, Juliah turut melawat pameran yang disediakan berkaitan kempen berkenaan.


sabahmedia.com/2022/01/15
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

24-5-2022 01:25 PM GMT+8 , Processed in 0.159635 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list