CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 61|Reply: 0

[Sarawak] Usaha pemuliharaan hutan Bung Jagoi tunjuk hasil positif

[Copy link]
Post time 15-1-2022 01:31 PM | Show all posts |Read mode


Kakitangan Control Union terlibat dalam penilaian kedua ketahanan pokok menggunakan ArcGIS Survey123 ketika lawatan ke tapak projek. -Gambar Zora Chan/WWF-Malaysia

KUCHING: Usaha pemuliharaan Hutan Warisan Jagoi dalam daerah Bau oleh komuniti memperlihatkan hasil positif kadar ketahanan tinggi pokok selepas 1,000 spesies pokok asli ditanam setahun lalu.

Projek selama enam bulan ini diketuai Jawatankuasa Pembangunan Kawasan Jagoi (JADC) dengan kerjasama Peterson & Control Union, Jabatan Hutan Sarawak dan WWF-Malaysia.

Pengerusi JADC Professor Dr Gabriel Tonga Noweg ketika lawatan ke tapak projek baru-baru ini berkata penilaian pertama ketahanan pokok dibuat oleh JADC dibantu pelajar pascasiswazah dan kakitangan dari Institut Pemuliharaan Alam Sekitar dan Biodiversiti (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), tiga bulan selepas penanaman pada Disember 2020.

Penilaian katanya dibuat menggunakan ArcGIS Survey123 (sebuah borang aplikasi pengumpulan data berpusat) untuk mengumpul data.

“Sebanyak 774 pokok dinilai dan direkodkan antara Mac dan April tahun lepas dan graf yang dihasilkan menerusi Survey123 menunjukkan kadar ketahanan pokok ini adalah 95 peratus,” katanya.  

Mengulas lebih lanjut mengenai projek ini ia meliputi kawasan gondol dan terhakis seluas 1.8 hektar.

Usaha ini adalah selari dengan pemulihan landskap hutan oleh Jabatan Hutan Sarawak yang mana projek dibiayai Peterson & Control Union dan 1,000 anak pokok ditaja Jabatan Hutan Sarawak.

Pada Disember 2020, Peterson & Control Union menghulurkan sokongan kewangan kepada usaha pemuliharaan ini sebagai sebahagian daripada projek khas tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena sambutan ulang tahun ke-100 organisasinya.

Pengurus Besar Control Union Supun Nigamuni berkata, “Kami sangat gembira projek ini dapat diteruskan meksipun dalam pandemik COVID-19 dan terima kasih kepada JADC, WWF-Malaysia dan Jabatan Hutan Sarawak atas sokongan.

“Apa yang kami lihat di Bung Jagoi adalah bukti bagaimana komuniti dapat berkembang dan pada masa yang sama melindungi warisan dan semula jadi mereka,” katanya.

Ketua Program Pemuliharaan WWF-Malaysia Sarawak Dr Jason Hon dalam pada itu berkata semua pihak termasuk swasta, kerajaan dan masyarakat awam boleh berkolaborasi secara efektif dalam usaha pemuliharaan landskap hutan di Sarawak.

“Kami berharap model di Jagoi ini dapat dicontohi komuniti lain dengan sokongan sektor swasta dan kerajaan,” katanya.

Dr Jason juga berkata projek ini tidak akan berjaya tanpa komitmen dari komuniti Jagoi itu sendiri.

Bung Jagoi merupakan antara lima tapak di Malaysia yang pada mulanya digunakan bagi senarai hijau kawasan dilindungi dan dipelihara IUCN (Kesatuan Antarabangsa Untuk Pemuliharaan Alam Sekitar).

Bung Jagoi merupakan tapak warisan bagi Bidayuh Jagoi di Daerah Bau dan salah satu lokasi popular bagi aktiviti mendaki dalam kalangan pendaki tempatan dan luar.

Justeru adalah menjadi harapan komuniti lain dapat mengikuti usaha komuniti Bung Jagoi ini dalam memelihara dan memulihara hutan mereka.


utusanborneo.com.my/2022/01/15
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

Forum Hot Topic



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

17-5-2022 03:05 PM GMT+8 , Processed in 0.077278 second(s), 21 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list