|
Aishah kini bergelar Datuk
KUALA LUMPUR: Penyanyi Janji Manismu, Aishah menyifatkan gelaran Datuk yang dikurniakan kepadanya sebagai pembakar semangat melangkah ke fasa baharu dalam kehidupan.
Terharu penghargaan diberikan, Aishah atau nama sebenarnya, Wan Aishah Wan Ariffin, 57, namun, agak terkilan tidak dapat meraikan berita gembira bersama insan tersayang.
"Saya terharu. Gelaran Datuk ini menterjemahkan pengiktirafan sepanjang 35 tahun pembabitan saya dalam dunia persada seni suara.
"Namun, ada juga terselit perasaan sedih mengenangkan tiada ibu bapa dan adik-beradik meraikan pengiktirafan ini.
"Nasib baik, saya masih ada anak-anak, rakan dan peminat untuk berkongsi kegembiraan bersama dengan pencapaian ini," katanya kepada BH Online.
Aishah dianugerahkan pingat Darjah Setia Bakti Negeri Sembilan (DBNS) membawa gelaran Datuk sempena Hari Keputeraan ke-74 Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, hari ini.
Penyanyi kelahiran Jempol, Negeri Sembilan itu berkata, dia menerima berita gembira penganugerahan dan menerima surat rasmi mengenainya pada Disember lalu.
"Insya-Allah, saya akan menghadiri istiadat pengurniaan darjah kebesaran pada Sabtu depan," katanya.
Dalam perkembangan lain, penyanyi bervokal mantap itu mengakui, sedang menghitung hari untuk melancarkan single terbaharu.
"Rakaman vokal sudah siap dilakukan, hanya menunggu lampu hijau mengeluarkan single ini. Insya-Allah, lagu ini akan menemui peminat selewat-lewatnya awal Februari," ujarnya.
Meskipun pernah berduet bersama penyanyi Datuk Malek Ridzuan menerusi lagu Mawar Putih Mawar Merah, nama, Aishah hanya meledak selepas menganggotai kumpulan The Fan Club.
Bersama band yang berasal dari New Zealand itu, mereka sempat merakamkan dua album iaitu Sensation (1988) dan Respect The Beat (1989).
Aishah juga berjaya mengharumkan nama negara apabila lagu Sensation, Call Me, Never Give Up On You dan Paradise menduduki banyak carta muzik dunia. Ini termasuk single Don't Let Me Fall Alone yang pernah menduduki carta Billboard Hot 100.
Dua tahun kemudian, Aishah kembali ke tanah air dan merakamkan album solo berjudul Aishah terbitan Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Lebih tiga dekad beraa dalam belantara seni, Aishah banyak menghasilkan lagu popular antaranya Kemaafan Dendam Yang Terindah, Selanjur Bercinta, Cinta Beralih Arah, Melukut Di Tepi Gantang dan banyak lagi.
Aishah juga menjadi penyanyi pertama memenangi kategori Penyanyi Wanita Popular dan Artis Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1990.
|
|