CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 167|Reply: 0

[Pulau Pinang] CAP gesa kerajaan perkenal undang-undang pelupusan plastik

[Copy link]
Post time 13-1-2022 03:05 PM | Show all posts |Read mode
GEORGETOWN: Kerajaan digesa memperkenalkan undang-undang membabitkan pengeluaran, penggunaan, pengitar semula dan pelupusan semua bahan plastik.

Ia berikutan bahan itu mengandungi toksik yang memberi kemudaratan terhadap manusia dan alam sekitar jika diuruskan tanpa kaedah yang betul.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, berkata Malaysia adalah antara destinasi utama bagi pengeksport sisa plastik yang dilihat sebagai perniagaan menguntungkan.

Bagaimanapun, katanya, ia menimbulkan masalah serius terhadap alam sekitar dan hidupan disebabkan kekurangan peraturan serta pengawasan dilakukan pihak berkuasa.

"Hal ini berlaku kerana plastik yang tidak sesuai dikitar semula dan dibuang atau mungkin dilupuskan menerusi kaedah pembakaran, justeru ia melepaskan bahan kimia toksik ke dalam alam sekitar atau mungkin dibuang ke tapak pelupusan sampah.

"Kaedah berkenaan berpotensi mencemarkan tanah dan sumber air," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohideen berkata, menerusi kajian dijalankan CAP sejak 1998 ke atas plastik terpakai yang dikitar semula menjadi pelet, mendapati bahan kimia dalam pelet terbabit boleh membahayakan kesihatan.

Katanya, CAP juga mendapatkan pelet plastik kitar semula itu daripada pengitar plastik yang mengeksport dan menjual pelet kepada pengeluar tempatan bagi dijadikan produk baharu.

"Semua pelet itu dianalisa dan terbahagi kepada tiga kumpulan yang mengandungi bahan kimia berbahaya iaitu penstabil UV benzotriazole, bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A," katanya.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik CAP, Hatijah Hashim, berkata penstabil UV benzotriazole adalah sekumpulan penstabil UV yang ditambah kepada plastik, penyalut dan kosmetik.

Katanya, ia berkekalan dalam alam sekitar dan bahan kimia itu akan mengganggu sistem endokrin iaitu sistem dalam badan yang bertanggungjawab menghasilkan hormon oleh kelenjar tertentu dan masuk ke dalam darah bagi mengawal atur aktiviti badan.

"Bahan kalis api berbromin dan Bisphenol A juga boleh menjejaskan sistem endokrin, sistem imun dan pembiakan, malah ada di antaranya didapati menjejaskan perkembangan otak kanak-kanak.

"Susulan itu, kerajaan sepatutnya tidak menggalakkan perniagaan mengitar semula plastik toksik kerana ia bukan saja memusnahkan alam sekitar, malah turut menjejaskan kesihatan pekerja dan pengguna.

"Pengeluaran plastik perlu dikurangkan secara drastik dan perdagangan sisa plastik perlu diharamkan dengan pelaksanaan undang-undang," katanya.

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

20-5-2022 08:57 AM GMT+8 , Processed in 0.089054 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list