|
Kredit foto: IG
Mahkamah Majistret Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman denda RM4,000 terhadap pelakon Niezam Zaidi selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki dan memasukkan dadah dalam badan pada Oktober lalu.
Majistret Mohd Shazmeer Zamhari menjatuhkan hukuman itu selepas Niezam atau nama sebenarnya Muhamad Niezam Mohd Zaidi bersama pengarah dan penolong pengarah mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan berkenaan yang dibacakan secara berasingan pada pada Isnin.
Kredit foto: IG
Menurut laporan Utusan, Niezam didenda RM4,000 manakala Mohd Latiff Zami, 50, (RM3,800) dan Saiful Zaidrin Ismail, 48, (RM4,000).
Niezam juga diperintahkan menjalani pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun manakala Latiff dan Saiful masing-masing tiga dan dua tahun.
Mahkamah juga memerintahkan mereka dipenjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan dan mereka membayar denda tersebut.
Menurut pertuduhan, Niezam didakwa memiliki kanabis seberat 0.60 gram manakala Latiff (0.20 gram kanabis) dan Saiful Zaidrin (0.03 gram methamphetamine) di sebuah rumah di Persiaran Jati, Taman Chandan Putri 2, kira-kira pukul 7.15, 10 Oktober 2021.
Niezam dan Latiff didakwa mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dipenjara maksimum lima tahun atau denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Saiful pula didakwa mengikut Seksyen 12(2) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Menurut laporan, kesemua tertuduh juga mengaku memasukkan THC dan Methamphetamine ke dalam badan di pejabat narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kangsar antara jam 9.50 hingga 10.05 pagi hari sama.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda RM5,000 dan pengawasan tidak lebih tiga tahun.
Kredit foto: IG
Sementara itu, Niezam menerusi Instagram dengan tenang memuat naik gambar di luar perkarangan mahkamah.
Semoga Niezam seriklah dengan hukuman ini. - CARI
|
|