CARI Infonet

 Forgot password?
 Register
Search
Carian Terbanyak:
View: 137|Reply: 0

[Pulau Pinang] Gerakan tuntut penjelasan siri terowong Pakej Dua PTMP

[Copy link]
Post time 8-1-2022 03:50 PM | Show all posts |Read mode
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang digesa untuk memberi penjelasan secara terperinci mengenai seksyen baharu iaitu beberapa siri terowong dalam projek Pakej Dua Jalan Pintasan Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia Pulau Pinang (Gerakan), Oh Tong Keong berkata, seksyen baharu itu hanya diumumkan ketika Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengadakan sidang akhbar pada pagi Jumaat.

Menurutnya, mengikut pelan asal, projek Pakej Dua itu hanya merupakan sebuah projek lebuh raya bertingkat tanpa ada seksyen beberapa siri terowong.

"Pada semalam (Jumaat), beliau mengumumkan bahawa terdapat pengubahsuaian dalam struktur pembinaan projek itu dengan penambahan pada seksyen terowong berkembar di tiga bahagian jajaran tersebut.

"Persoalannya di sini, adakah laporan kebolehlaksanaan yang asal masih boleh diguna pakai untuk melaksanakan projek yang baru diumumkan itu?" katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Pada Jumaat, Kon Yeow mengumumkan projek jalan bagi pakej kedua di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) iaitu dari Air Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu bernilai RM851 juta kini telah mencapai kadar lapan peratus pelaksanaan projek berbanding enam peratus sebelum ini.

Kon Yeow berkata lagi, projek yang mendapat kelulusan kajian Impak Alam Sekitar (EIA- Jadual Kedua) dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 7 November 2017 itu dijangka siap pada Januari 2025.

Tambahnya, jajaran Pakej Dua sepanjang enam kilometer (km) itu merangkumi 65 peratus struktur jejambat (viaduct), beberapa siri terowong (20 peratus) dan 'at-grade' (15 peratus).

Dalam pada itu, Tong Keong menambah, sebelum ini, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang diketuai DAP telah membayar RM208 juta melalui pertukaran tanah bagi kajian kebolehlaksanaan ketiga-tiga jalan utama itu dan melantik Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan itu.

Bagaimanapun, soal beliau, dengan wujudnya seksyen tambahan untuk Pakej Dua itu, adakah kerajaan negeri perlu membuat bayaran tambahan RM200 juta untuk pihak berkenaan menyediakan laporan kebolehlaksanaan yang baharu?

"Adalah mustahil untuk menggunakan laporan kebolehlaksanaan yang asal bagi membina projek Pakej Dua yang telah ditambah dengan seksyen terowong berkembar seperti yang diumumkan Kon Yeow.

"Oleh demikian, Kon Yeow harus menjelaskan secara terperinci mengenai perkara ini. Selain itu, sebelum ini dilaporkan penamatan kontrak CZC dengan kontraktor, namun kini berlaku pula pengubahsuaian struktur lebuh raya berkenaan yang mana, perubahan dalam beberapa aspek ini telah meragukan orang ramai," katanya.

Ujarnya, sebelum ini juga, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari mengatakan bahawa projek jalan-jalan utama itu tetap akan dilaksanakan mengikut pelan asal walaupun berlaku penamatan kontrak antara CZC dengan kontraktor yang lain.

"Daripada kenyataan Zairil ini, didapati berlaku percanggahan antara beliau dan Kon Yeow. Ini kerana, Zairil mengatakan ia tetap dengan pelan asal sedangkan Kon Yeow mengumumkan sebaliknya.

"Selain perkara itu, Gerakan juga menuntut penjelasan daripada kerajaan negeri mengenai lokasi kawasan perumahan, bukit dan kawasan perkuburan yang bakal ditebus guna oleh pihak berkuasa untuk menjalankan projek tersebut," katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/a ... wong-Pakej-Dua-PTMP
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 



Mobile|Archiver|Mobile*default|CARI Infonet

24-5-2022 03:10 PM GMT+8 , Processed in 0.293067 second(s), 25 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list