CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 449|Reply: 0

[Pulau Pinang] Pekerja mogok, perkhidmatan penghantaran barangan terjejas

[Copy link]
Post time 5-1-2022 10:55 AM | Show all posts |Read mode


Butterworth: Tindakan ratusan pekerja sebuah hub syarikat e-dagang terkenal di Perai, di sini, yang melancarkan mogok berkemungkinan akan menjejaskan perkhidmatan penghantaran barangan.

Ratusan pekerja itu mogok selepas mereka tidak berpuas hati dengan satu notis yang diberikan dalam tempoh singkat berhubung kontrak baharu berkaitan gaji yang didakwa merugikan pekerja penghantaran menggunakan van.

Seorang pekerja, Mohammad Aidil Hafizuddin Mohd Fauzi, 24, berkata dia menerima notis berkenaan pada 31 Disember lalu yang mana kontrak berkenaan berkuat kuasa keesokan harinya (1 Januari).

"Perkara ini jelas satu penindasan kerana kami (pekerja penghantaran menggunakan van) tidak diberikan peluang dan masa langsung untuk berfikir.

"Kontrak baharu ini pula merugikan kami apabila kami tidak lagi diberikan bayaran tetap dan hanya diberikan komisen, namun ia amat rendah.

"Sebelum ini, kami dibayar tetap RM180 sehari untuk 40 bungkusan pertama berserta komisen lain dengan parcel tambahan yang pendapatan sebulan melebihi RM10,000 tetapi dengan kontrak baharu ia mengalami penyusutan di antara RM4,000 hingga RM5,000," katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Katanya, kebanyakan mereka tidak dapat menerima kontrak baharu itu kerana kos penyelenggaraan van amat mahal disamping ada juga yang baharu membuat pinjaman pembelian van yang mencecah lebih RM100,000.

Sementara itu, K Ganeshwaran, 24, berkata dia terkilan apabila pihak syarikat tidak memaklumkan mengenai notis baharu itu lebih awal.

"Ini kerana saya baharu seminggu membeli van bernilai RM108,000 dengan membuat bayaran ansuran RM1,600 sebulan.

"Sekarang bagaimana saya hendak buat bayaran ansuran jika begini keadaannya. Saya beli van baharu kerana terbabit kemalangan (total lost) dan saya sudah lakukan kerja penghantaran barang ini selama lima tahun bagi menyara keluarga.

"Perkara ini buat saya menjadi buntu yang sepatutnya notis kontrak perlu dikeluarkan lebih awal," katanya.

Menurutnya, pada masa ini dia tidak menandatangani kontrak terbabit sekali gus tidak dapat menghantar barang kepada pelanggan.

Sementara itu, pihak pengurusan syarikat terbabit didapati masih tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.

Difahamkan, selain Pulau Pinang mogok itu turut dilancarkan pekerja syarikat terbabit di seluruh Malaysia.


ANTARA kontraktor bebas penghantaran sebuah syarikat perkhidmatan e-dagang berkumpul mengadakan bantahan berhubung isu gaji di hub syarikat terbabit. FOTO Danial Saad

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

20-4-2024 11:01 PM GMT+8 , Processed in 0.064874 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list