|
Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian. - Foto fail NSTP
KUCHING: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sarawak akur dengan keputusan parti itu yang akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana ahlinya bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 tanpa kebenaran.
Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sarawak, Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian, berkata tindakan bertanding tanpa kebenaran itu jelas melanggar Perlembagaan parti dan boleh dikenakan tindakan tegas termasuk membatalkan keahlian serta-merta.
"BERSATU Sarawak menyokong penuh keputusan Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Pimpinan Tertinggi yang membuat keputusan untuk tidak bertanding pada PRN Sarawak kali ini.
"Oleh itu mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti termasuk penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian, Datuk Ali Biju, boleh berdepan tindakan disiplin seperti termaktub dalam perlembagaan parti.
"Apa tindakan yang bakal diambil akan diumumkan oleh (pimpinan) pusat dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada hari penamaan calon Isnin lalu, Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli membuat kejutan dengan bertanding di DUN Krian sebagai calon Bebas.
Susulan tindakannya itu, Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan, dilaporkan berkata, mana-mana ahli yang bertanding tanpa kebenaran parti akan berdepan tindakan disiplin tegas termasuk keahlian boleh terhenti serta-merta.
Mengulas lanjut, Jaziri Alkaf berkata, BERSATU Sarawak kekal teguh dan tidak berbelah bahagi terhadap kepemimpinan Ketua Menteri Sarawak yang juga Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Abang Openg bagi memastikan kemenangan besar GPS pada pilihan raya berkenaan.
Katanya, ia sekali gus dapat meneruskan kesinambungan dan kepesatan pembangunan yang berjaya dilaksanakan selama ini.
Pada PRN Sarawak 18 Disember ini, Ali berdepan saingan empat penjuru menentang calon GPS, Friday Belik, Danny Kuan (PBK), dan Musa Dinggat (PSB).
credit
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|