CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 549|Reply: 0

[Sarawak] Mengapa anda perlu mengundi pada 18 Disember?

[Copy link]
Post time 29-11-2021 09:53 PM | Show all posts |Read mode


Kita telah menunggu tarikh untuk mengundi untuk sekian lama. Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sepatutnya dibubarkan tahun lepas bagi memungkinkan PRN-12 diadakan lebih awal. Namun perkara itu tidak berlaku susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19.

Ya, akhirnya SPR pada Rabu, 24 November 2021 mengumumkan PRN diadakan pada Sabtu, 18 Disember. Kini, masa yang ditunggu-tunggu oleh lebih 1. 25 juta pengundi telah tiba. Sebanyak 82 kerusi DUN dipertaruhkan.

SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN nanti. Peratusan berkenaan sama dengan yang disasarkan untuk PRN Melaka pada 20 Nov lalu, tetapi hanya 66 peratus yang turun mengundi. Persoalannya, dapatkah peratusan itu dicapai sedangkan dalam keadaan biasa pun peratusan setinggi itu sukar dicapai?

Pada 2016, hanya 70.01 peratus daripada pengundi turun mengundi. Sarawak pernah menyaksikan peratusan tertinggi sebanyak 80 pertus turun mengundi pada PRN 1969. Yang paling rendah direkodkan pada PRN 2006, sebanyak 63.22 peratus.

Sarawak telah menyaksikan sebanyak empat kali perutusan pengundian antara 60 peratus hingga 69 peratus, manakala enam kali antara 70 peratus hingga 79 peratus. Hanya sekali pernah merekodkan 80 peratus, sekali gus yang tertinggi dalam sejarah PRN Sarawak, pada 1969.

Sebaliknya, bukan mustahil pula peratusan pengundian tinggi seperti yang dibuktikan dalam PRU di Singapura dan Korea Selatan meskipun kedua-dua negara itu mengadakannya ketika negara berkenaan dilanda Covid-19. Ingat, terdapat 120 negara dan wilayah di dunia mengadakan pilihan raya dan referendum ketika dunia diancam Covid-19, termasuk di Asia.

Maksudnya, mengadakan pilihan raya waktu Covid-19 bukan hanya berlaku di Sarawak, Melaka atau Sabah.

Peratusan pengundian di Singapura sekitar 96 peratus sekali gus paling tinggi dalam sejarah pilihan rayanya manakala di Korea Selatan sekitar 66 peratus, sekali gus paling tinggi sejak 1996.

Malah, di New Zealand peratusannya ialah sekitar 82 peratus. Ternyata bukan mustahil untuk peratusan pengundian mencecah paras tinggi.

Yang penting, harus terdapat keyakinan di hati pengundi dari segi keselamatan dan kesihatan. Tidak harus timbul rasa bimbang kemungkinan dijangkiti Covid-19. Untuk itu, amat penting diwujudkan SOP dan tatapelakuan pengundi yang sesuai.

Memang terdapat pelbagai faktor mengapa peratusan pengundian rendah atau tinggi. PRU-13 misalnya, pernah menyaksikan peratusan pengundian tertinggi.

Ia terjadi di sebalik semangat dan sentimen pengundi di negara ini yang begitu menggelegak untuk menukar kerajaan BN ketika itu. Namun, hasrat itu gagal dicapai melalui PRU berkenaan.

Sebaliknya, kerajaan BN hanya tumbang pada PRU-14 pada 2018. Manakala pengundi tidak berminat dan tidak ghairah untuk mengundi, antara lain, disebabkan mereka terlalu yakin bahawa calon atau parti tertentu akan menang. Juga, kerana mereka muak dengan krisis dan kerenah pemimpin politik seperti yang berlaku di Melaka.

Mengapakah ada kerisauan tentang kemungkinan peratusan yang disasarkan untuk PRN-12 tidak dapat dicapai? Mengapa ada keraguan bahawa jumlah yang turun mengundi tidak akan mencapai sasaran?

Kebimbangan rendahnya peratusan pengundian dan sukarnya memenuhi sasaran SPR itu memang dapat difahami di sebalik kerisauan pengundi tentang ancaman jangkitan Covid-19 dan sekatan melalui prosedur operasi standard kempen.

Seyogia diingatkan kadar vaksinasi di Sarawak sudah melebihi 92 peratus manakala jumlah kes jangkitan sudah banyak berkurangan. Kawalan ketat melalui SOP dalam PRN menyebabkan calon dan parti yang bertanding tidak dapat berkempen secara maksimum dan meluas.

Akhirnya, jumlah yang keluar mengundi juga terjejas. Jadi, langkah berhati-hati dan bijak perlu diambil untuk mengelak kejadian peratusan pengundian rendah.

Maksudnya, SOP yang terlalu ketat akan menghambat kempen yang maksimum sehingga dapat menjejaskan usaha calon untuk mendampingi pengundi mereka. Calon perlu diberi peluang untuk berkempen secara bersemuka.

Melalui strategi demikian, calon dapat menampilkan kelebihannya, manakala bagi pengundi pula dapat menilai personaliti calon terbabit.

Kalau kita takut jangkitan Covid-19, mungkin jumlah yang dibenarkan untuk bersemuka dengan pengundi dihadkan. Kempen dari rumah ke rumah hendaklah dibenarkan kerana ini sahaja peluang bagi calon berdepan dengan pengundi mereka. Calon dan parti politik tidak boleh bergantung seratus peratus kepada media baharu untuk berkempen. Sebab, kempen secara fizikal sebenarnya masih lagi lebih efektif.

Pengundi perlu menggunakan hak mereka untuk mengundi. Dengan itu, mereka dapat menentukan calon dan parti manakah yang lebih berhak untuk mewakili mereka di DUN nanti. Seterusnya memimpin negeri ini.

Jangan fikir undi anda hanya satu. Ingat, undi yang satu itu dapat menentukan menang atau kalahnya seseorang calon. Bukan tidak pernah calon menang tipis, hanya dengan majoriti tujuh undi dalam PRN Sarawak.

Tentu timbul kekesalan di hati pihak calon yang tewas hanya dengan sedikit undi. Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna. Jadi, gerakkanlah seluruh jentera akar umbi untuk memastikan pengundi turun mengundi beramai-ramai.

Ingat, dalam PRN lalu, ada daripada calon menang dengan majoriti kurang daripada 200 undi. Di Ngemah Alexander Vincent hanya menang dengan 154 undi manakala di Telang Usan Dennis Ngau menang dengan hanya 167 undi. Persaingan yang amat sengit.

Bagi memastikan peratusan yang turun mengundi tinggi, pelbagai strategi dan pendekatan perlu dilakukan untuk memujuk pengundi supaya mengundi.

Tugas dan tanggungjawab ini tidak seharusnya hanya diletakkan di bahu SPR. Semua pihak, termasuk parti politik, calon, ketua masyarakat, pemimpin pendapat dan media perlu memainkan peranan untuk menggalakkan pengundi agar turun mengundi.

Menjadi tugas kita sebagai rakyat yang bertanggungjawab untuk memastikan kita mengundi pada 18 Disember nanti. Gunakan hak itu sebaik-baiknya.

Dr Jeniri Amir ialah Felow Kanan Majlis Profesor Negara.


sarawakvoice.com/2021/11/29

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

24-4-2024 05:53 AM GMT+8 , Processed in 0.057800 second(s), 30 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list